Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, menjejaki kelembapan dalam pasaran minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), menurut seorang peniaga.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group, Anilkumar Bagani berkata harga minyak sawit turut terjejas selepas China mengurangkan tarif import ke atas minyak kanola Kanada kepada 15 peratus daripada gabungan 84 peratus.
"Ia juga merupakan pelarasan yang mencerminkan permintaan biobahan api minyak sawit yang berkurangan memandangkan pelaksanaan mandat B50 pada tahun ini tertangguh," katanya kepada Bernama.
Menyokong pandangan tersebut, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga MSM diseret turun oleh kebimbangan yang berterusan terhadap paras inventori domestik yang tinggi.
"Kami melihat harga sokongan pada paras di atas RM4,000, dengan rintangan pada RM4,180," katanya.
Pada penutupan, penanda aras kontrak Februari 2026 meningkat sebanyak RM6 kepada RM4,032 satu tan. Mac 2026 susut RM2 kepada RM4,055 satu tan, manakala April 2026 jatuh RM5 kepada RM4,067 satu tan.
Kontrak Mei 2026 melemah RM6 kepada RM4,073 satu tan, Jun 2026 berkurangan sebanyak RM11 kepada RM4,071 satu tan dan Julai 2026 rugi RM9 kepada RM4,068 satu tan.
Jumlah dagangan menurun kepada 40,676 lot berbanding 96,095 lot yang disaksikan semasa Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka merosot kepada 242,379 daripada 249,340 sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan menokok RM10 kepada RM4,060 satu tan.
-- BERNAMA
