JENAYAH & MAHKAMAH

"MARUAH ATM PERLU TERPELIHARA , JANGAN SAMAKAN KESALAHAN INDIVIDU" - RAFOC

19/01/2026 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Isu rasuah yang melibatkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berkhidmat baru-baru ini bukan sahaja mencalarkan imej individu terbabit, malah turut menghakis kepercayaan rakyat terhadap profesionalisme ATM serta tahap kepimpinan beretika institusi ketenteraan secara keseluruhan.

Presiden Persatuan Kor Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC) Lt Jen (B) Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ibrahim berkata veteran yang rapat dengan masyarakat juga kini dipandang serong, seolah-olah mereka turut bertanggungjawab terhadap salah laku yang berlaku hari ini.

“Penting untuk ditegaskan bahawa kesalahan individu tidak boleh disamakan dengan kegagalan keseluruhan institusi. Namun begitu, institusi yang berwibawa tidak boleh berdiam diri terhadap salah laku di dalamnya.

“Ketelusan, ketegasan dan akauntabiliti adalah asas kepada kepercayaan awam. Tanpa tindakan berprinsip, ruang akan terbuka kepada budaya ‘ATM bashing’, kejatuhan moral anggota yang masih berkhidmat secara jujur serta kerosakan imej jangka panjang institusi pertahanan negara,” katanya di sini  hari ini.

Beliau menegaskan profesionalisme ATM yang dihormati hari ini bukan dibina dalam masa sehari, sebaliknya hasil pengorbanan generasi anggota dan veteran terdahulu, termasuk mereka yang cedera, gugur atau terkorban dalam operasi mempertahankan kedaulatan negara, seperti semasa konfrontasi dan memerangi insurgensi komunis.

Sehubungan itu, veteran akan terus memainkan peranan mempertahankan maruah institusi dengan membezakan antara individu dan sistem, menyokong pembaharuan kepimpinan beretika serta melindungi anggota bawahan yang masih berkhidmat dengan penuh integriti.

“ATM bukan milik individu, dan bukan juga milik satu generasi sahaja, sebaliknya ia adalah amanah negara. Veteran adalah penjaga nilai, saksi sejarah dan benteng terakhir profesionalisme ketenteraan.

“Jika veteran memilih untuk berdiam diri hari ini, krisis kepercayaan yang wujud akan diwarisi generasi ATM masa hadapan. Itu adalah kegagalan yang tidak boleh diterima oleh sesiapa yang pernah mengangkat sumpah mempertahankan tanah air,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan