AM

KELUARGA REDA TERIMA BERITA KEMATIAN NADIA KESUMA

18/01/2026 11:50 AM

GEORGE TOWN, 18 Jan (Bernama) -- Keluarga pelakon Nadia Kesuma reda dengan pemergiannya selepas Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung, susulan laporan kehilangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lepas.

Suami Allahyarham Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, yang merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata beliau dimaklumkan berhubung kematian isterinya itu lewat malam tadi, oleh Wisma Putra.

“Wisma Putra telefon saya malam tadi dan maklumkan perkara tersebut dan saya minta maaf kerana tak boleh nak maklumkan secara terperinci, kerana pihak Wisma Putra akan keluarkan kenyataan berhubung apa yang berlaku (ke atas isterinya).

“Saya bersama anak perempuan akan ke Jeddah hari ini dan kami semua reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini hari ini.

Muhammad Kamarul yang kelihatan tenang dilihat beberapa kali memeluk ahli keluarganya yang menghantarnya dan anak perempuanya di LTAPP yang menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah.

Muhammad Kamarul yang mempunyai tiga anak berusia 11 hingga 15 tahun bersama Nadia yang nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, berkata jenazah isterinya akan dikebumikan di Jeddah.

“Allahyarham isteri memang selalu bercerita dan cakap mahu ke Mekah, jadi kita tunaikan permintaanya," katanya.

Terdahulu Bernama melaporkan berita kematian Nadia Kesuma itu disahkan suaminya melalui hantaran di Facebook pagi tadi, yang memaklumkan isterinya meninggal dunia pada 8.07 pagi Khamis lepas, hari pelakon itu dilaporkan gagal dikesan.

Nadia Kesuma menyertai pakej Umrah-London-Paris sebuah agensi pelancongan bersama-sama 21 jemaah lain.

Pelakon itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.48 pagi, Selasa lepas.

Sebelum ini, Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) Anne Abdullah yang juga rakan baik Nadia Kesuma memaklumkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Jeddah.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan