KOTA KINABALU, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri (KPSTI) komited memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Komunikasi bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan dan keselamatan digital remaja dilaksanakan secara menyeluruh.
Menterinya Datuk James Ratib berkata kerjasama itu penting memandangkan portfolio pendidikan dan inovasi di Sabah amat bergantung kepada infrastruktur komunikasi yang stabil dan berkualiti, khususnya bagi sekolah di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau.
Beliau berkata susulan cabaran geografi negeri yang luas, Sabah mencadangkan institusi sekolah dijadikan nod keutamaan dalam pelaksanaan JENDELA Fasa 2, termasuk penyambungan gentian optik terus ke premis sekolah serta peluasan teknologi satelit bagi kawasan sukar dicapai.
“KPSTI juga bersedia menjadi pemudah cara dalam urusan perolehan tanah dan kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur digital di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di Putrajaya hari ini.
James berkata dalam pertemuan dengan Fahmi, pihaknya turut mencadangkan penggunaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) diperluas merangkumi ekosistem pembelajaran digital sekolah, termasuk penubuhan Digital Smart Lab di sekolah terpilih bagi menyokong pembelajaran STEM, TVET, AI asas dan keselamatan siber.
Selain aspek infrastruktur, kedua-dua pihak katanya, turut membincangkan isu keselamatan digital termasuk cadangan pengurangan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja di bawah usia 16 tahun sebagai usaha membanteras ancaman jenayah seksual dalam talian dan pedofilia.
“Satu kerangka kerjasama rasmi melibatkan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), KPSTI dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah juga wajar diwujudkan bagi melaksanakan pendekatan whole-of-government dalam agenda itu,” katanya.
James turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan melebihi RM2 bilion menerusi Belanjawan 2026 bagi memperkukuh infrastruktur digital di Sabah.
-- BERNAMA
