AM

MAJLIS PENGURUSAN BENCANA NEGARA BAKAL DITUBUH, SELARAS PENGURUSAN BENCANA - TPM AHMAD ZAHID

08/01/2026 02:22 PM

PUCHONG, 8 Jan (Bernama) -- Majlis Pengurusan Bencana Negara dicadang ditubuhkan sebagai sebuah badan tertinggi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan bencana serta pengurangan risiko bencana, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu berkata beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyediakan Kertas Kabinet untuk diedarkan ke semua kementerian bagi mendapatkan padangan. 

“Dalam tempoh sebulan,  edarkan kepada semua kementerian untuk mendapat ulasan dan saya sendiri akan bentangkan (dalam mesyuarat Kabinet).

“Naik taraf Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat kepada Majlis Bencana Pengurusan Bencana Negara... kita mahu pengurusan bencana benar-benar dipertingkat,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat tahun baharu 2026 kepada warga NADMA di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim. 

Ahmad Zahid juga berkata ketika ini, mekanisme pengurusan bencana negara melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di peringkat tertinggi perlu terus diperkukuh.

“Ketika ini, jawatankuasa sedia ada masih belum melibatkan penyertaan secara langsung Menteri Besar dan Ketua Menteri sedangkan kerajaan negeri memegang kuasa penting dalam aspek pembangunan, guna tanah serta pengurusan sumber air... faktor-faktor kritikal yang amat mempengaruhi tahap risiko serta impak bencana.

“Begitu juga keperluan penglibatan menyeluruh Menteri Persekutuan yang mempunyai mandat dan keupayaan untuk menyelaras semua aspek secara bersepadu merentas kementerian dan agensi sekali gus membolehkan keputusan strategik dibuat dengan lebih pantas, tegas dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata satu pendekatan baharu dalam pengurusan bencana perlu diperkenal dan negara harus menerapkan pendekatan keseluruhan negara untuk pembinaan daya tahan dalam berhadapan krisis dan bencana.

“Kita mesti jujur dengan realiti... bencana hari ini tidak lagi bersifat terasing atau bermusim... ia turut didorong oleh perubahan iklim, pembangunan pesat dan urbanisasi, kepadatan penduduk serta ketidaktentuan global yang merentas sektor.

“Jika kita perhatikan, bencana hari ini telah melangkaui soal alam sekitar... ia turut merangkumi kesihatan awam, krisis kemanusiaan serta gangguan teknologi dan infrastruktur kritikal...  sebab itu, pendekatan lama tidak lagi memadai,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang kini digubal menjadi komitmen jangka panjang negara untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat terhadap bencana melalui pengurusan risiko yang komprehensif dan holistik.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan