AM

RM25 JUTA DILULUSKAN BAGI KERJA-KERJA AWAL LPT FASA 4 - EXCO

09/01/2026 05:21 PM

JOHOR BAHRU, 9 Jan (Bernama) -- Sebanyak RM25 juta diluluskan bagi kerja-kerja awal projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) seperti kajian trafik, reka bentuk kejuruteraan dan cadangan jajaran yang akan dimulakan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata cadangan LPT4 meliputi jajaran sejauh 142 kilometer (km) dari Ulu Tiram hingga ke Mersing.

“Tujuan utama projek ini ialah membangunkan kawasan sekitar selain pelengkap kepada Lebuh Raya Pantai Timur sedia ada yang menyambung (menghubungkan) ke Johor melalui Kuantan, Pahang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Beliau berkata mengikut perancangan asal, projek itu merangkumi tiga jajaran utama, iaitu Johor Bahru- Kota Tinggi dengan jarak 30 km, Kota Tinggi-Mersing (80 km) dan Mersing-Endau (32 km). 

Mohamad Fazli berkata sesi libat urus antara kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya berhubung pembinaan LPT4 ini akan memberikan impak positif yang optimum bukan sahaja kepada pembangunan negeri Johor, malah kemudahan serta keselesaan rakyat.

“LPT4 ini merupakan cadangan dalam Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) untuk dibina selepas 2030, namun dengan mengambil kira pembangunan yang pesat dan tidak mahu wilayah pantai timur Johor seperti Mersing dan Kota Tinggi ketinggalan, cadangan LPT4 ini diletakkan sebagai keutamaan negeri,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan