AM

CADANGAN HAD TEMPOH PM TIDAK RUGIKAN NEGARA - AMK

07/01/2026 08:57 PM

IPOH, 7 Jan (Bernama) -- Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, tidak akan merugikan negara.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata seseorang pemimpin itu, masih boleh memainkan peranan dan menyumbang kepada negara atas pelbagai kapasiti lain.

“Kita kena ambil daripada sudut yang positif… kalau pun tidak seseorang Perdana Menteri itu berkhidmat (bagi tempoh) jauh lebih panjang, ada peranan ataupun fungsi lain yang kita boleh fikirkan tertakluk kepada kebijakan dan juga keupayaan kita untuk mengolah ataupun menyusun kepimpinan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI yang dianjurkan Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama strategik Pasar Raya Borong Sakan Sdn Bhd di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah  Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata had tempoh berkenaan boleh merugikan negara, jika pemimpin yang dilantik pada usia muda terbukti cemerlang, tetapi tidak boleh dilantik semula hanya kerana kekangan berkenaan.

Muhammad Kamil mengakui cadangan berkenaan mempunyai pro dan kontra, namun ia tidak seharusnya menyekat perubahan politik yang baharu dan segar di negara ini.

Sementara itu, Muhammad Kamil merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas pendirian untuk mengekalkan serta terus memperkukuh kestabilan politik negara.

“Tidak seperti pimpinan sebahagian kecil, pimpinan-pimpinan lain yang bercakap dengan emosi dan tidak berfikir dengan waras dan panjang ke hadapan, yang meletakkan kepentingan negara itu di hadapan melebihi kepentingan diri sendiri dan juga parti sendiri,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid dilapor berkata UMNO tidak akan pernah melakukan tebuk atap pada kerajaan yang ada sekarang serta terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan.

Selain itu, Muhammad Kamil turut menggesa semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya menghentikan pertikaian sesama sendiri, sebaliknya fokus kepada memberikan khidmat bakti kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan