MELAKA, 17 Mac (Bernama) -- Pejabat Perdana Menteri (PMO) memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan inisiatif Juadah Ramadan MADANI: Apresiasi Barisan Hadapan, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Chan Ming Kai.
Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan tanda pemberian ikhlas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada petugas barisan hadapan yang berdedikasi melaksanakan tugas pada bulan mulia ini.
Beliau berkata Melaka menjadi negeri terakhir dalam siri jelajah penyampaian pek berbuka puasa yang dilaksanakan pada hari ini dengan 650 pegawai dan anggota polis disantuni.
"Kita menyantuni petugas barisan hadapan ini kerana mereka perlu bertugas dalam bulan puasa dan ada yang perlu berbuka puasa ketika sedang bertugas," katanya kepada pemberita selepas penyerahan pek berbuka puasa berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mohd Shahrul Shari dan Ketua Jabatan Pengurusan IPK Melaka Supt Nik Abdul Halim Nik Mat.
Chan berkata sumbangan kecil berkenaan diharap dapat menjadi tanda penghargaan atas pengorbanan barisan hadapan negara yang sentiasa berdiri teguh dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
-- BERNAMA
