KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Peruntukan RM50 juta bagi penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan komitmen kerajaan MADANI terhadap pembangunan pendidikan yang inklusif dan seimbang.
Presiden Persatuan Kebajikan dan Perkembangan Pendidikan Sekolah Tamil Malaysia Vetrivelan Mahalingam, berkata lebih 100 SJK(T) di seluruh negara kini menghadapi cabaran kritikal, termasuk keperluan mendesak untuk dipindahkan akibat faktor infrastruktur dan ketidaksesuaian lokasi dengan jumlah murid semasa.
“Sehubungan itu, kami dengan penuh hormat merayu agar Perdana Menteri mempertimbangkan kelulusan pemindahan sekurang-kurangnya lima SJK(T) ke kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk India yang tinggi serta permintaan semakin meningkat terhadap pendidikan aliran Tamil.
“Kami yakin melalui reformasi menyeluruh, pentadbiran yang cekap dan kerjasama semua pihak, isu-isu berpanjangan yang dihadapi SJK(T) dapat ditangani demi manfaat generasi kini dan akan datang, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang adil, inklusif dan bermaruah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menyatakan hasrat dan kesediaan untuk bekerjasama dengan Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu dapat direalisasikan secara berkesan dan berimpak tinggi.
Perdana Menteri, ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi SJKT yang masih menghadapi isu kemudahan daif.
-- BERNAMA
