PUTRAJAYA, 2 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan telah mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan yang dijatuhkan ke atas seorang tukang jubin kerana mengedar 1,024.60 gram ganja pada tahun 2019.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hashim Hamzah (kini Hakim Besar Malaya), Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Teh Geok Chin terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Menerusi alasan penghakiman setebal 34 muka surat, Mohamed Zaini berkata Teh yang memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, adalah dihalang daripada merayu terhadap sabitan dan hanya boleh merayu terhadap hukuman mengikut Seksyen 305 Kanun Tatacara Jenayah.
“Mahkamah Rayuan mungkin boleh mengetepikan sabitan jika mahkamah perbicaraan gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 173(b) Kanun Tatacara Jenayah... Mahkamah Rayuan mungkin boleh mengetepikan sabitan dan memerintahkan agar kes perayu dibicarakan semula sekiranya mendapati prosedur tertentu tidak dipatuhi,” katanya.
Bagaimanapun, dalam kes Teh, beliau berkata Mahkamah Tinggi telah mematuhi prosedur yang digariskan di bawah Seksyen 173(b) Kanun Tatacara Jenayah.
"Pertuduhan telah dibaca dan diperjelas kepada perayu dalam bahasa pilihannya iaitu Mandarin… tertuduh juga memahami akibat pengakuan salahnya,” kata hakim berkenaan.
Beliau juga berkata rayuan Teh terhadap hukuman tidak boleh dipertimbang kerana Mahkamah Tinggi hanya mempunyai dua pilihan iaitu menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan 12 sebatan.
Pada Oktober 2023, Teh, 47, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dengan 12 sebatan selepas mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Muafakat, Larkin, Johor Bahru pada 12.10 malam 18 April 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama Nguyen Thi Thanh Tuyen, 27, yang kemudian dibebaskan daripada pertuduhan.
Teh, yang pada awalnya minta dibicarakan, kemudian menukar pengakuan kepada bersalah selepas representasinya kepada Jabatan Peguam Negara diterima.
Menerusi penghakiman bertarikh 18 Dis lepas yang dimuat naik di laman sesawang badan kehakiman, Mohamed Zaini turut menggariskan 17 perkara yang perlu dipatuhi oleh hakim perbicaraan sebelum mensabitkan tertuduh yang mengaku bersalah dalam kes jenayah membabitkan hukuman mati dan tempoh pemenjaraan yang panjang.
-- BERNAMA
