KOTA BHARU, 29 Dis (Bernama) -- Persepsi segelintir individu dengan mengaitkan penagih dadah hanya melibatkan golongan miskin atau susah disifatkan sebagai kurang tepat, kerana secara hakikatnya ia boleh melibatkan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang ekonomi dalam masalah tersebut.
Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan Zamakhshari Muhamad berkata naratif yang sering mengaitkan ketagihan dadah dengan kemiskinan semata-mata, telah lama bermain dalam fikiran masyarakat.
“Kita sering dimomokkan bahawa punca utama berlaku gejala penagihan dadah adalah daripada golongan miskin, namun hakikatnya dalam kalangan mereka yang berkemampuan juga turut terjebak dengan najis dadah.
“Ada yang terlibat ini (penagih dadah) disebabkan tekanan hidup, kesunyian, pengaruh persekitaran dan ada juga yang bermula dengan sekadar ingin mencuba sebelum akhirnya terperangkap dengan masalah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri berkata isu dadah tidak boleh diselesaikan melalui pendekatan tangkapan dan hukuman semata-mata, sebaliknya pendekatan yang diambil perlulah menumpukkan kepada pencegahan awal serta penglibatan masyarakat.
“Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan ratusan program yang melibatkan institusi keluarga, sekolah, tempat kerja dan komuniti setempat.
“Pendekatan ini penting, kerana punca masalah dadah kelazimannya bermula daripada persekitaran paling hampir dengan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata perubahan akan berlaku sekiranya masyarakat cakna, berani menegur dan sanggup bekerjasama dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan kerana isu dadah ini boleh menular kepada orang lain pula jika tidak ditangani.
Sebelum ini, Zamakhshari berkata kes penyalahgunaan dadah di Kelantan menunjukkan trend penurunan sebanyak 7.4 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2024.
Berdasarkan statistik, jumlah penagih dadah turut menurun daripada 15,448 orang pada 2024 kepada 14,320 orang pada 2025 iaitu penurunan sebanyak 1128 kes.
-- BERNAMA
