JENAYAH & MAHKAMAH

2,682 KENDERAAN DIAMBIL TINDAKAN DALAM OPS PERANG LEBIH MUATAN DI TERENGGANU

01/01/2026 10:35 PM

KUALA TERENGGANU, 1 Jan (Bernama) -- Sebanyak 2,682 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Perang Lebih Muatan 2025 di seluruh Terengganu bagi tempoh September hingga bulan lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Mohd Zamri Samion berkata tindakan itu hasil pemeriksaan ke atas 22,754 kenderaan termasuk kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan barangan.

Beliau berkata keseluruhannya sebanyak 4,447 notis dikeluarkan selain 4,595 saman atas pelbagai kesalahan termasuk membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah dan kesalahan teknikal lain.

"Sebanyak 29 kenderaan telah disita dalam Ops Perang Lebih Muatan yang diadakan khusus susulan kejadian kemalangan serius melibatkan kenderaan perdagangan.

"Penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi bagi mencegah kemalangan, melindungi nyawa pengguna jalan raya serta memastikan kenderaan perdagangan dalam keadaan baik dan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamri berkata penguatkuasaan strategik dan berfokus yang dilaksanakan JPJ Terengganu telah membuahkan hasil apabila jumlah kes kemalangan maut mencatatkan pengurangan.

Beliau berkata sebagai contoh, sebanyak 840 kes kemalangan direkodkan sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2025, berbanding  968 kes pada Ops HRA 2024.

"Kes kematian juga turun mendadak kepada tujuh kes pada Ops HRA 2025, berbanding 24 kes pada Ops HRA 2024. Bagi Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2025 pula, kes kematian menurun kepada tiga kes, berbanding 17 kes pada Ops HRAA 2024. 

"Penurunan ini bukan kebetulan, tetapi hasil pendekatan strategik terhadap penguatkuasaan berfokus risiko, tindakan terhadap kesalahan berimpak tinggi dan kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi strategik," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata sebanyak RM2.54 juta saman tertunggak berjaya dikutip dari tempoh 1 Nov hingga 31 Dis lepas melalui program penawaran diskaun 50 peratus saman.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan