AM

PELAJAR TAJAAN JPA BOLEH TUKAR PBU TEMPAT BERKHIDMAT KEPADA PBU AKADEMIK MULAI 5 JAN

01/01/2026 01:40 PM

PUTRAJAYA, 1 Jan (Bernama) -- Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit (PBU) Tempat Berkhidmat 2016 kini berpeluang menukar kepada model PBU Akademik secara berfasa mulai Isnin ini.

JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan fasa pertama penawaran opsyen, yang berlangsung dari 5 Jan hingga 5 Feb, melibatkan pelajar yang tamat tajaan pada atau selepas 1 Jan 2025.

Fasa kedua pula melibatkan pelajar yang tamat tajaan pada atau sebelum 31 Dis 2024.

Menurut JPA, pelaksanaan opsyen itu akan dibuat menerusi Portal Malaysian Student Engagement Online Feed (MySELF).

"Pelajar tajaan JPA diminta memastikan akaun MySELF masing-masing aktif serta mengemas kini maklumat perhubungan seperti alamat, e-mel peribadi dan nombor telefon bagi memastikan proses penawaran opsyen berjalan lancar," menurut kenyataan itu.

Kerajaan memperkenalkan model penajaan PBU Akademik bagi pelajar tajaan JPA bermula 1 Jun 2025 dan sejak itu telah memanfaatkan lebih 11,000 pelajar di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan.

Selain itu, JPA memaklumkan kerajaan turut bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman pelajar PBU 2016 hingga 30 Jun 2026 bagi pelajar yang tidak mempunyai tunggakan bayaran balik.

“Pelajar yang masih mempunyai tunggakan dinasihatkan supaya segera menjelaskan tunggakan tersebut selewat-lewatnya pada 31 Mei 2026,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan