AM

JOHOR CATAT HASIL RM2.67 BILION BAGI 2025 - MB

01/01/2026 03:24 PM

JOHOR BAHRU, 1 Jan (Bernama) -- Johor mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM2.67 bilion bagi 2025, tertinggi pernah direkodkan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Beliau berkata kutipan hasil negeri akan terus dikembalikan dalam bentuk pembangunan, kemudahan dan kebajikan rakyat Johor.

“Semoga pencapaian ini menjadi titik tolak untuk Johor terus melangkah ke hadapan dengan lebih tersusun dan berdaya saing demi menjamin masa depan negeri yang maju, makmur dan sejahtera. 

“Saya sedar masih banyak perlu diperbaik dan diperkemas. Justeru, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk melakukan lebih baik bagi memastikan hasil negeri dimanfaatkan secara adil dan lebih ramai dapat menikmati manfaatnya,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Menerusi hantaran itu, Onn Hafiz menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas segala sokongan, panduan dan nasihat berterusan yang menekankan keutamaan tadbir urus dan kestabilan negeri demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Asman Shah Abd Rahman, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan semua penjawat awam.

Penghargaan juga dirakamkan kepada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakyat Johor. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan