KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Sebanyak 543 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri dengan Johor merekodkan pertambahan jumlah mangsa pada pagi ini.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat meningkat kepada 159 orang daripada 45 keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 120 orang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata peningkatan itu susulan pembukaan PPS Dewan Serbaguna Kampung Tandong pada 6 petang semalam yang menempatkan 39 orang daripada 10 keluarga.
Beliau berkata 40 mangsa masih berlindung di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek (43 mangsa), Balai Raya Kampung Paya (23 mangsa) dan Balai Raya Kampung Sanglang (14 mangsa).
“Dua sungai di Segamat melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 9.21 meter dan Jeti Sungai Tekam yang merekodkan 4.09 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asman Shah turut memaklumkan dua jalan masih ditutup sepenuhnya iaitu Felda Tenggaroh 3 di Mersing susulan kejadian cerun runtuh dan Jambatan Kesang-Sungai Rambai di Tangkak akibat jambatan rosak.
Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 348 orang daripada 90 keluarga berbanding 380 mangsa petang semalam, melibatkan kawasan Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi Baru dan Kampung Sungai Batu di sekitar Kuching, dengan tiga PPS masih beroperasi.
JPBN Sarawak memaklumkan mangsa di PPS Dewan Masyarakat Stapok berjumlah 203 orang daripada 55 keluarga, PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru (129 orang, 31 keluarga) dan PPS Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu (16 orang, empat keluarga).
Di MELAKA, aplikasi InfoBencanaJKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Jasin kekal 36 orang daripada lapan keluarga yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu melibatkan penduduk Kampung Parit Perawas Benteng dan Kampung Tasek Benteng.
-- BERNAMA
