JENAYAH & MAHKAMAH

ISTERI SARAT MENGANDUNG BERDEPAN DUGAAN, SUAMI DITAHAN POSITIF DADAH

01/01/2026 10:31 AM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Seorang wanita sarat mengandung tujuh bulan berhadapan dugaan apabila suaminya ditahan polis akibat positif dadah semasa sekatan jalan raya OPS Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Jalan Duta di sini, malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 30-an didapati positif syabu itu mendakwa terjebak sejak beberapa tahun lepas akibat pengaruh rakan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan OPS Ambang Tahun Baharu di 240 lokasi seluruh negara termasuk di 25 lokasi sekitar ibu negara secara serentak bermula 11 malam.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman DCP Mohd Rozi Jidin berkata operasi melibatkan lebih 300 pegawai dan 2,000 anggota polis serta pelbagai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan syarikat konsesi lebuh raya.

“Fokus utama operasi ialah mengawal aliran trafik, membanteras lumba haram yang lazim berlaku selepas 12 tengah malam selain mengesan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Jalan Duta, tengah malam tadi.

Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata polis mengeluarkan 378 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya selepas 800 motosikal diperiksa dalam OPS Samseng Jalanan di empat lokasi di ibu negara bermula 2.45 pagi tadi.

Beliau berkata 90 motosikal disita kerana kesalahan ubah suai kenderaan dan pemeriksaan mendapati majoriti penunggang yang melakukan kesalahan terdiri daripada golongan bawah 19 tahun, iaitu antara 15 hingga 19 tahun.

“Kesalahan paling banyak dikesan ialah tidak mempunyai lesen memandu dan tiada cukai jalan termasuk lesen kenderaan tamat tempoh. Kesalahan lain ialah pengubahsuaian motosikal melibatkan ekzos, tayar serta brek tidak berfungsi,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata operasi dijalankan susulan banyak aduan daripada pihak hotel dan penduduk sekitar pusat bandar yang terganggu dengan bunyi bising motosikal, khususnya selepas sambutan ambang tahun baharu. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan