AM

RAKYAT KELANTAN BOLEH MOHON LESEN MENDULANG MULAI 1 JAN 2026

31/12/2025 03:44 PM

KOTA BHARU, 31 Dis (Bernama) -- Rakyat Kelantan yang berminat menjadi pendulang boleh membuat permohonan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Pejabat Tanah Jajahan mulai esok, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata permohonan yang dihantar akan diproses dan diluluskan dalam tempoh tertentu mengikut syarat ditetapkan.

"Setakat ini kita tidak meletakkan sebarang had permohonan… semua yang berminat boleh mengisi borang tersebut yang disediakan secara manual di PTG atau pejabat tanah jajahan.

"Daripada maklum balas yang diterima menerusi media sosial, kita jangkakan permohonan untuk mendulang akan mendapat sambutan yang menggalakkan, dan PTG telah memberi komitmen bahawa pihaknya bersedia untuk menguruskan proses permohonan itu," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata bagi pembeli emas pula, mereka perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri bagi urusan pembelian mineral berharga itu.

"PTG juga akan mengeluarkan pewartaan kawasan mendulang emas dalam masa terdekat membabitkan empat jajahan yang telah dikenal pasti mengandungi sumber mineral itu.

"Empat jajahan itu adalah Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai... kita juga akan kenal pasti kawasan lain yang ada sumber ini dan akan membuat penilaian dari semasa ke semasa untuk diwartakan," katanya.

Beliau berkata antara syarat utama yang melayakkan seseorang itu memohon sebagai pendulang ialah rakyat Kelantan sahaja dan menggunakan kaedah mendulang secara manual.

"Kerja mendulang juga hanya dibenarkan di kawasan yang telah diwartakan dan dilakukan pada waktu pejabat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan