AM

MYSTEP: INISIATIF WAJAR, KERAJAAN MADANI CAKNA GOLONGAN SASAR

28/12/2025 05:30 PM

PUTRAJAYA, 28 Dis (Bernama) -- Keputusan kerajaan meneruskan Malaysia Short-Term Employment Programme atau MySTEP pada 2026 wajar bagi membuka peluang pekerjaan jangka pendek kepada graduan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Pakar pekerja golongan OKU Dr Wan Arnidawati Wan Abdullah yang juga Ketua Laboratori Gerontologi Sosial, Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia MyAgeing Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata MySTEP memberi peluang awal kepada OKU untuk membina keyakinan, kemahiran asas dan rekod pekerjaan.

“Ramai OKU bukan kekurangan kebolehan tetapi kekurangan peluang untuk membuktikan keupayaan mereka.

“Bagi warga emas, penyertaan MySTEP mencerminkan keperluan menilai semula peranan mereka dalam pasaran kerja. Dengan penyesuaian tugasan dan waktu kerja, program ini boleh menyokong penyertaan ekonomi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Wan Arnidawati bagaimanapun berkata kejayaan MySTEP bergantung kepada sokongan selepas penempatan termasuk bimbingan pekerjaan dan kefahaman majikan terhadap keperluan OKU dan warga emas.

“Program ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem sokongan pekerjaan yang lebih menyeluruh. Kejayaan bukan hanya diukur melalui bilangan pengambilan tetapi juga kualiti pengalaman kerja,” katanya.

Sementara itu, Nordiana Mohd Samsul, 28, berkata langkah meneruskan inisiatif itu memberi harapan baharu kepada golongan sasar yang merancang untuk memohon menyertainya bagi menimba pengalaman bekerja dalam sektor awam.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang mengalami kecederaan kekal pada tangan kanan akibat kemalangan jalan raya tahun lepas berkata program MySTEP membuktikan golongan OKU turut diberi ruang dan kepercayaan untuk menyumbang kepada sektor awam.

“Walaupun tempohnya singkat, peluang seperti ini penting untuk saya bina pengalaman dan keyakinan diri. Sekurang-kurangnya ada ruang untuk saya mencuba,” katanya.

Abdul Mizan Yusuf, 30, yang buta mata kiri akibat kemalangan di tempat kerja berkata pelaksanaan program itu merupakan langkah murni kerajaan dalam memastikan semua lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata.

Abdul Mizan juga menyifatkan pelanjutan MySTEP membuktikan Kerajaan MADANI peduli dan komited membina masyarakat inklusif.

“Program ini menterjemahkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan kami. Ia bukan sekadar pekerjaan sementara tetapi juga pengiktirafan terhadap kemampuan OKU,” katanya.

Senada ialah Mohd Danial Irfan Samuri, 21, yang menyifatkan MySTEP sebagai pendekatan holistik yang bukan sahaja membuka ruang pekerjaan, malah membina kapasiti dan keyakinan generasi muda untuk memasuki bidang pekerjaan.

“Usaha kerajaan memberi peluang seperti ini yang jelas menunjukkan kerajaan komited menyediakan platform bagi kami menimba pengalaman serta bersedia menyumbang kepada pembangunan negara,” kata lulusan sijil institut latihan pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Tinjauan di Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pelanjutan inisiatif itu mendapati warga maya menyambut baik keputusan tersebut berdasarkan reaksi like dan komen positif selain turut berkongsi hantaran berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan keputusan kerajaan supaya inisiatif MySTEP diteruskan pada tahun depan berdasarkan peraturan dan tatacara ditetapkan dalam Garis Panduan Perolehan Perkhidmatan Personel MySTEP yang berkuat kuasa 1 Jan 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan