EKONOMI

VELESTO ENERGY LUPUS VELESTO WORKOVER PADA HARGA RM16.5 JUTA

29/12/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Velesto Energy Bhd, Velesto Malaysian Ventures Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian penjualan saham untuk melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam Velesto Workover Sdn Bhd (VWSB) pada harga RM16.5 juta tunai.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata pembeli terbabit adalah Enviros Survey & Consultancy Sdn Bhd, sebuah syarikat perundingan geosains dan alam sekitar swasta Malaysia.

Pelupusan itu melibatkan penjualan 57.17 juta saham dalam VWSB, mewakili 100 peratus daripada modal saham terbitan syarikat berkenaan dan dijangka selesai menjelang separuh pertama 2026.

Velesto berkata pertimbangan itu dipersetujui atas dasar penjual dan pembeli rela-merelai dengan mengambil kira sejarah prestasi kewangan, asas aset, tempahan dalam tangan termasuk keupayaan teknikal VWSB.

Presiden Velesto Energy, Megat Zariman Abdul Rahim berkata pelupusan itu adalah sejajar dengan strategi pengurusan portfolio kumpulan.

“Ia seiring dengan usaha berterusan kumpulan untuk menyelaraskan operasi, menyokong pulangan pemegang saham dan mengoptimumkan peruntukan modal.

“Kami juga mengambil langkah terukur bagi membangunkan kawasan pelengkap selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan dalam mengejar peluang meningkatkan nilai,” katanya.

Hasil tersebut akan digunakan untuk modal kerja, dengan kira-kira RM700,000 diperuntukkan ke arah perbelanjaan berkaitan urus niaga.

Syarikat itu berkata pelupusan itu tidak akan menjejaskan modal saham, pendapatan sesaham atau penggearan dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham kerana ia berada di bawah ambang pelupusan utama Bursa Malaysia.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan