EKONOMI

INSTITUSI TEMPATAN KEKAL PEMBELI BERSIH MINGGU KEENAM BERTURUT-TURUT

29/12/2025 12:16 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keenam berturut-turut dengan aliran masuk bersih RM639.5 juta berbanding pelabur runcit tempatan yang merekodkan aliran keluar bersih minggu keempat berturut-turut berjumlah RM90.2 juta.

Laporan Aliran Dana MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) bagi minggu berakhir 26 Dis, 2025 melaporkan untuk minggu ketiga berturut-turut pelabur asing di Bursa Malaysia merekodkan aliran keluar bersih dengan jumlah jualan bersih sebanyak RM549.3 juta.

Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Jumaat (RM172.4 juta), diikuti Rabu (RM172.4 juta), Isnin (RM106.0 juta) dan Selasa (RM98.6 juta), manakala bursa tempatan ditutup pada Khamis sempena cuti Krismas.

Laporan itu berkata hanya tiga sektor merekodkan aliran masuk bersih pelabur asing minggu lepas iaitu produk dan perkhidmatan perindustrian (RM23.4 juta), telekomunikasi dan media (RM13.3 juta), serta tenaga (RM3.4 juta).

Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar bersih pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM169.7 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM96.2 juta), dan utiliti (RM90.6 juta), katanya.

Bank pelaburan itu berkata purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan secara menyeluruh, melibatkan pelabur runcit tempatan sebanyak 12.2 peratus, institusi tempatan 26.6 peratus, dan pelabur asing 39.7 peratus.

Di peringkat serantau, berdasarkan lapan pasaran Asia yang dipantau oleh MBSB, pelabur asing beralih semula kepada pembelian bersih ekuiti Asia dengan aliran masuk bersih berjumlah US$4.24 bilion, iaitu aliran masuk terbesar sejak awal September.

Laporan itu berkata hanya India dan Filipina mencatatkan aliran keluar, manakala aliran masuk didahului oleh Korea Selatan, diikuti Taiwan, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan