JOHOR BAHRU, 29 Dis (Bernama) -- Berbaki kira-kira dua minggu sebelum cuti persekolahan berakhir, ibu bapa mengambil kesempatan membuat persediaan awal bagi pembukaan sesi persekolahan baharu.
Tinjauan Bernama di Angsana Mall di sini mendapati kebanyakan ibu bapa memilih untuk membeli kelengkapan sekolah lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan kekurangan saiz pada saat akhir.
Bapa kepada dua anak, Mohd Zulfadhli Mostapa, 38, berkata beliau membeli pakaian, kasut dan peralatan sekolah anak-anaknya lebih awal bagi mengelakkan kesibukan pada penghujung cuti.
“Saya buat persiapan awal supaya tidak kelam-kabut dan bimbang saiz habis. Harga memang meningkat, tetapi kita terima sahaja,” katanya.
Beliau turut memaklumkan keluarganya tidak merancang percutian pada cuti sekolah kali ini kerana anaknya, Muhammad Adam Zahirul Haq, 14, terlibat dengan latihan bola sepak.
Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Nur berkata beliau memanfaatkan cuti sekolah untuk membeli keperluan persekolahan anak lebih awal selain meluangkan masa bersama keluarga di rumah.
“Saya tidak mahu membeli pada saat akhir kerana bimbang saiz habis. Walaupun harga agak tinggi, keperluan anak tetap diutamakan,” katanya sambil menambah beliau memilih pusat membeli-belah kerana kemudahan mendapatkan semua barangan di satu lokasi.
Sementara itu, pembantu tadbir, Zuliana Japar, 42, berkata baki cuti sekolah diisi dengan aktiviti bersama anak-anak di pusat membeli-belah memandangkan persiapan persekolahan telah diselesaikan lebih awal.
Beliau berkata aktiviti dalaman menjadi pilihan berikutan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.
-- BERNAMA
