JOHOR BAHRU, 29 Dis (Bernama) -- Jambatan Sungai Rambai FT001 yang menghubungkan Kesang di Tangkak dan Sungai Rambai, Melaka, ditutup hari ini susulan struktur tiang yang rosak serta tidak selamat untuk dilalui.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati, kerosakan itu berkemungkinan berpunca daripada arus air sungai yang deras serta dirempuh sisa pokok yang hanyut.
“Berkemungkinan struktur tanah dasar sungai juga terhakis,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Justeru, pengguna jalan raya untuk semua jenis kenderaan diminta menggunakan laluan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), sebagai laluan alternatif.
Mohamad Fazil berkata tindakan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
