KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- PDRM FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tunduk 1-3 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi Chrigor Moraes yang menanduk masuk hantaran lintang Faisal Halim untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Chrigor terus merobek gawang PDRM apabila menanduk masuk hantaran Alvin Fortes pada minit ke-49.
PDRM berjaya merapatkan jurang gol menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Fakhrul Azim pada minit ke-53.
Pemain tengah Gergasi Merah Noor Al Rawabdeh kembali melebarkan jurang apabila berjaya menyudahkan hantaran Ahmad Zikri Khalili pada minit ke-67 untuk kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Sementara itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu FC (TFC) turut gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Sabah FC.
Babak pertama menyaksikan pasukan pelawat bermula garang dengan dua percubaan yang hampir menggegar gawang tuan rumah pada minit ke-13 dan ke-14.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah terlebih dahulu mencipta jaringan menerusi Muhammad Akhyar Rashid yang menyambar umpanan cantik daripada pemain gantian Muhammad Safwan Mazlan pada minit ke-34.
Ketika babak pertama hampir berakhir, skuad Sang Badak yang diketuai Rawilson Batuil mencipta kejutan apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan menerusi Fergus Tierney yang menyudahkan hantaran lintang Miguel Cifuentes.
Bersambung babak kedua, TFC yang menguasai permainan berjaya mencipta tiga percubaan berbahaya namun ketangkasan penjaga gol Daniel Lim berjaya menyelamatkan gawang pelawat daripada dibolosi.
Pada minit ke-73, Adjin Mujagic menjaringkan gol kedua untuk Sabah FC sebelum sekali lagi merobek gawang TFC pada minit ke-89 apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan 1-3.
Terdahulu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, DPMM FC berjaya menundukkan Penang FC 2-0.
Gol DPMM dijaringkan Jordan Murray pada minit ke-17 dan Azwan Ali Rahman pada minit ke-23
-- BERNAMA
