KUANTAN, 23 Dis (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan RM2.7 juta bagi Program Bantuan Banjir tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata daripada jumlah itu kira-kira setengah juta telah diagihkan bagi membantu mangsa yang terjejas dengan bantuan disalurkan antaranya barangan keperluan dan wang tunai.
“Pada hari ini YAPEIM bersama agensi lain turut sama membantu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan dan diharap dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Misi Bantuan Pasca Bencana Skuad Ihsan MADANI (Hal Ehwal Agama) di Taman Guru di sini hari ini.
Mengulas mengenai program hari ini, Zulkifli berkata selain YAPEIM, agensi lain yang turut menghulurkan bantuan ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata penyerahan bantuan hari ini melibatkan 300 penerima dengan sumbangan meliputi makanan, barangan keperluan seperti kit solat, lampin pakai buang, kit kebersihan, selimut selain kain batik dan pelikat.
“Sumbangan berkenaan berjumlah RM118,000 dan Jabatan Agama Islam Pahang telah membantu kami menguruskan sumbangan ini kepada mangsa banjir di Kuantan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan MADANI mempunyai ekosistem yang baik dalam mengurus bencana dengan pelbagai agensi kerajaan berganding bahu bagi membantu mangsa terjejas.
Zulkifli menerusi program hari ini berkata juga pihak kerjaaan dapat mendekati mangsa banjir dan mendengar sendiri keperluan mereka.
-- BERNAMA
