KUANTAN, 23 Dis (Bernama) -- Peniaga di destinasi pelancongan di Pahang diingatkan supaya tidak menaikkan harga barangan atau melakukan penipuan sukatan susulan peningkatan kehadiran pelancong sempena cuti persekolahan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Sim Chon Siang berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang didapati melanggar peraturan.
"Ada satu kes aduan di Cameron Highlands baru-baru ini berkaitan pelanggan membeli strawberi satu kilogram tetapi hanya dapat 700 gram.
"Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) amat mengambil berat hal ini dan kita sedang menyiasat sebelum mengambil tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Mesra Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di sini hari ini.
Sebelum ini, media turut melaporkan terdapat pelancong mendakwa menjadi mangsa penipuan timbangan oleh peniaga strawberi di Cameron Highlands.
Terdahulu, Sim melakukan pemeriksaan barangan di beberapa pasar raya di bandar raya ini sebelum mengenal pasti tiga kesalahan dilakukan dari segi sukatan.
"Saya berharap pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) Pahang ambil tindakan tegas. Jika sukatan lebih saya ucap terima kasih tetapi kalau tidak cukup kita ambil tindakan," katanya.
-- BERNAMA
