AM

TIKTOK SHOP MALAYSIA PERGIAT LEBIH 1,000 SESI ALL-STAR LIVE PADA 2026

23/12/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Platform e-dagang yang dipercayai di Malaysia, TikTok Shop, akan mempergiat sokongan kepada jenama tempatan dan antarabangsa yang menyertai program Mall berjenama tulen dengan lebih 1,000 sesi All-Star LIVE dijadualkan berlangsung dalam negara sepanjang 2026.

Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata inisiatif berkenaan merangkumi sesi siaran langsung premium untuk pembelian oleh TikTok Shop dengan kerjasama selebriti terkenal dan pencipta kandungan afiliasi terbaik.

Ia bertujuan menyokong perniagaan termasuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan meningkatkan keberadaan jenama mereka dengan capaian kepada jutaan pelanggan di seluruh negara.

“Pada 2025, kami menganjurkan lebih 100 sesi All-Star LIVE di Malaysia, yang membantu jenama-jenama menyertai program Mall mencatatkan peningkatan jualan purata melebihi 160 peratus berbanding hari biasa.

“Secara keseluruhan, jualan jenama yang mengambil bahagian dalam program Mall mencatatkan pertumbuhan 2.3 kali lebih pantas berbanding penjual lain di pasaran dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan termasuk Jaminan Ketulenan 100 peratus, Pemulangan Percuma 30 Hari dan Hari Jenama Super dalam membantu jenama-jenama mengembangkan perniagaan mereka.

Nur Azre berkata dengan lebih 1,000 sesi All-Star LIVE yang dirancang tahun depan untuk menyokong jenama program Mall, TikTok Shop Malaysia berharap lebih banyak PMKS tempatan dapat berkembang dan menjadi jenama terkenal melalui pengalaman shoppertainment.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan