KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memohon peruntukan RM20 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi memperkasakan program pembangunan sukan para negara pada tahun hadapan.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata jumlah itu realistik susulan prestasi cemerlang atlet para sepanjang tahun ini, termasuk pada Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2025 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
“Untuk pembangunan, kita perlukan sekurang-kurangnya RM20 juta. Atlet para telah membuktikan kemampuan dari segi prestasi dan merit, jadi peruntukan yang bersesuaian amat wajar.
“Kita tidak mahu momentum dan pembangunan atlet terbantut sedangkan prestasi mereka kini berada pada landasan yang betul. Dana ini perlu dinilai berdasarkan merit dan pencapaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan insentif kemenangan temasya oleh syarikat automotif Chery kepada atlet AYPG di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Chery menyerahkan insentif berjumlah RM208,000 kepada atlet yang berjaya memenangi pingat temasya berkenaan.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari yang turut menyampaikan insentif berkenaan kepada atlet yang terlibat.
Pada AYPG 2025, kontinjen negara mencatatkan pencapaian terbaik dengan meraih 14 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa untuk keseluruhan 39 pingat.
Sementara itu, perenang remaja para, Elysha Cheong Hui Yin muncul sebagai penerima insentif tertinggi berjumlah RM32,000 selepas meraih empat emas dalam acara S10 (kecacatan fizikal) gaya bebas 100 dan 400 meter (m), 100m kuak dada dan kupu-kupu serta satu gangsa dalam acara 200m rampaian individu.
Elysha menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai satu pencapaian luar jangka apabila turut berjaya memperbaharui rekod peribadinya dalam setiap acara yang disertainya.
"Saya boleh melakukan catatan masa yang lebih baik. Mungkin latihan tidak mencukupi tetapi saya sangat berbangga kerana ini adalah kali pertama menyertai pertandingan antarabangsa. Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut meletakkan sasaran untuk layak ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.
--BERNAMA
