EKONOMI

PROSES DAFTAR MASUK, KENAIKAN PENUMPANG KEMBALI NORMAL - MAHB

23/12/2025 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengumumkan bahawa sistem pemprosesan penumpang global di lapangan terbang di Malaysia kini telah pulih sepenuhnya oleh penyedia sistem.

MAHB dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui platform media sosial rasminya berkata operasi daftar masuk dan menaiki pesawat di seluruh lapangan terbang telah kembali beroperasi seperti biasa.

"Pasukan lapangan terbang dan syarikat penerbangan akan terus memantau keadaan untuk memastikan pemprosesan berjalan lancar. Kami berterima kasih kepada para pengguna atas kesabaran serta kerjasama mereka berhadapan dengan kejadian ini," kata MAHB.

Terdahulu, gangguan sementara yang melibatkan sistem pemprosesan penumpang global yang digunakan oleh beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia telah menjejaskan proses daftar masuk dan menaiki pesawat di lapangan terbang di Malaysia.

Gangguan tersebut telah menjejaskan pemprosesan penumpang, mendorong syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbangnya untuk mengaktifkan prosedur keadaan luar jangka.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan