KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Lebih 40 ekor kucing berjaya diselamatkan oleh pencinta haiwan itu untuk dipindahkan ke tempat selamat ketika banjir melanda daerah ini sejak beberapa hari lepas.
Jurina Abdul Rani yang juga pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) bersama tiga ahli tampil memainkan peranan sebagai penyelamat “si bulus” atas dasar kemanusiaan.
Meskipun dalam keadaan hujan selain terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda dan meminjam sampan orang awam, misi menyelamat berkenaan tetap dilaksanakan demi keselamatan haiwan comel itu.
“Saya tidak sampai hati apabila terima penggilan telefon daripada pemilik kucing di pusat pemindahan sementara (PPS) memberitahu haiwan kesayangan mereka tidak sempat diselamatkan.
“Jadi, saya dan ahli kelab lain ambil inisiatif untuk pergi ke rumah mereka sama ada naik sampan yang dipinjamkan atau pacuan empat roda untuk ambil kucing,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Peniaga berusia 53 tahun itu berkata misi berkenaan dijalankan selama dua hari pada Rabu dan khamis lepas dengan usaha menyelamat dijalankan di kawasan sekitar Inderapura dan Jalan Teluk Mahang, di sini.
“Saya rasa ralat juga ada kucing yang tak sempat diambil kerana masalah logistik dan berharap haiwan peliharaan itu diselamatkan orang lain,” kata Jurina.
Beliau berkata kesemua kucing kini ditempatkan di sebuah “PPS” yang disewa di Batu 5 di sini, sementara situasi banjir pulih sepenuhnya.
“Ada ahli yang ditugaskan menjaga dan memberi makan kepada kucing sepanjang berlindung di situ dan pemilik boleh datang ambil pada bila-bila masa nanti,” katanya yang turut menjalankan misi yang sama pada 2021.
Jurina berkata kos menyelamat, makanan dan tempat tinggal haiwan itu ditanggung olehnya selain infak daripada orang ramai.
“Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pemilik kucing. Ini sahaja khidmat dan kebajikan yang saya dapat buat untuk membantu masyarakat secara sukarela kerana kebiasaannya ketika bencana bantuan hanya fokus kepada mangsa banjir,” katanya.
-- BERNAMA
