KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.
Perkara itu dikongsi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
“Calon BN untuk kawasan Parlimen Kinabatangan telah diumum Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Majlis Makan Malam BN di Hotel Premiera iaitu Naim Kurniawan Moktar.
“Diyakini beliau diterima baik oleh rakyat di sana,” katanya.
Naim Kurniawan ketika dihubungi Bernama berkata beliau menerima amanah dan kepercayaan yang diberikan kepimpinan UMNO dan BN itu, bagi menyambung legasi parti itu di Parlimen Kinabatangan.
“Saya terima baik amanah yang diberikan ini meskipun saya tahu bukan mudah, kerana kawasan Parlimen Kinabatangan ini seluas negeri Pahang.
“Bagaimanapun, saya sedia mengalas amanah ini dengan sebaiknya agar suara rakyat Kinabatangan terus terbela,” katanya.
Naim Kurniawan berkata penerimaan pimpinan UMNO dan ahli pada peringkat akar umbi amat baik dan memberikan sokongan penuh terhadapnya, untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Dis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.
Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov.
-- BERNAMA
