SEPANG, 18 Dis (Bernama) -- Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al-Amin menggesa pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) negara mengekalkan momentum dan fokus untuk menghadapi Sukan Asia di Jepun pada tahun hadapan.
Beliau berkata penekanan perlu diberikan terhadap keperluan meningkatkan tahap kematangan serta keserasian permainan bagi memastikan prestasi pasukan terus konsisten.
“Momentum ini perlu dikekalkan dan fokus pasukan tidak boleh teralih. Dalam masa sama, aspek keserasian dan kematangan masih perlu diperbaiki bagi menghadapi cabaran lebih besar pada Sukan Asia akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tiba bersama-sama pasukan MLBB yang beraksi di Sukan SEA Thailand di KLIA 2, di sini hari ini.
Dalam pada itu, kapten pasukan wanita MLBB negara, Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi berkata kejayaan yang diraih menyuntik semangat kepada pasukan, namun mengakui keserasian permainan masih boleh dipertingkatkan jika diberikan tempoh persiapan lebih panjang.
“Mungkin keserasian kami belum cukup solid, tetapi jika diberi masa yang lebih lama, kami boleh bermain dengan lebih baik,” katanya.
Sharifah Alia turut menyeru wanita yang meminati permainan ini supaya tidak berputus asa dan berani menonjolkan bakat masing-masing dengan menyertai kejohanan yang dianjurkan.
“Jangan putus asa. Malaysia memerlukan lebih ramai pemain wanita. Kalau rasa ada bakat, sertailah kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan MLBB lelaki negara, Idreen Abdul Jamal berkata meskipun berpuas hati dengan usaha pasukan, beberapa aspek permainan perlu diperhalusi, khususnya dari segi kepantasan membuat keputusan dan disiplin ketika perlawanan.
Idreen berkata kekalahan yang dialami bukan berpunca daripada masalah keserasian, sebaliknya melibatkan keputusan yang agak lewat serta kurang disiplin pada situasi tertentu.
“Keserasian antara kami sebenarnya tiada masalah kerana dalam permainan kami memang ‘bonding’ kuat. Tetapi ada ketika keputusan dibuat agak lambat dan kurang disiplin, terutama apabila sudah menguasai permainan. Itu yang perlu kami baiki,” katanya.
Beliau berkata pengalaman berdepan pasukan lawan yang kuat memberikan pengajaran penting, khususnya dari segi “rotasi” dan keupayaan membuat keputusan pantas apabila berdepan tekanan.
Skuad MLBB negara menutup temasya Sukan SEA 2025 dengan membawa pulang sebutir pingat masing emas dan perak dalam acara e-sukan.
Pingat emas disumbangkan oleh skuad wanita yang menewaskan Filipina 4-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit dan mendebarkan.
Kejayaan itu sekali gus menebus kekecewaan skuad lelaki negara yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas impian untuk menamatkan penantian emas sekali lagi tidak kesampaian apabila tewas 0-4 kepada Filipina pada aksi final.
-- BERNAMA
