BEIJING, 18 Dis (Bernama-CMG) -- China dan Venezuela merupakan rakan strategik yang saling mempercayai serta menyokong antara satu sama lain.
China menentang segala bentuk tindakan buli secara unilateral, di samping menyokong usaha pelbagai negara untuk mempertahankan kedaulatan serta maruah bangsa, kata Menteri Luar China Wang Yi dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Venezuela, Yvan Gil pada Rabu.
Beliau menekankan bahawa Venezuela berhak mengembangkan hubungan kerjasama saling menguntungkan dengan negara-negara lain secara bebas.
"China yakin masyarakat antarabangsa akan memahami dan memberikan sokongan teguh terhadap pendirian Venezuela dalam mempertahankan hak dan kepentingan sahnya," kata Wang.
Dalam perbualan sama, Yvan Gil memaklumkan perkembangan semasa di Venezuela dan menegaskan bahawa kerajaan serta rakyat negara itu akan terus mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara, selain melindungi hak serta kepentingan sah mereka.
“Venezuela tidak akan tunduk kepada apa jua ancaman penindasan dan buli," tegas Gil.
-- BERNAMA-CMG
