BEIJING, 18 Dis (Bernama-CMG) -- China secara rasmi melancarkan operasi kastam khas seluruh pulau di Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan bermula Khamis, satu langkah signifikan bagi meningkatkan keterbukaan bertaraf tinggi dan mendorong pembinaan ekonomi dunia yang terbuka.
Setelah operasi kastam khas itu dimulakan, pertukaran perdagangan antara Hainan dengan dunia akan menjadi lebih lancar dan bebas, manakala hubungan antara pulau Hainan dengan Tanah Besar China akan menjadi lebih mudah dan efisien.
Sebanyak lapan pelabuhan terbuka di Hainan yang disenaraikan sebagai pelabuhan 'barisan pertama' akan mengendalikan kemasukan barangan import yang memenuhi syarat, manakala sepuluh pelabuhan 'barisan kedua' di Hainan akan mengambil langkah kemudahan bagi kelulusan barangan import ke Tanah Besar.
Setelah operasi kastam khas di FTP Hainan dilancarkan, jumlah barangan bebas cukai akan meningkat daripada 1,900 kepada lebih 6,600, sementara kadar barangan yang dikenakan kadar tarif sifar akan dinaikkan daripada 21 peratus kepada 74 peratus.
Langkah itu meliputi sektor farmaseutikal, pemprosesen makanan premium dan lain-lain.
Operasi kastam khas di seluruh pulau hanyalah permulaan bagi pembinaan FTP Hainan.
Pada fasa seterusnya, skop keterbukaan akan terus diperluas, manakala dasar serta sistem berkaitan akan ditambah baik bagi menjadikan Hainan pintu yang menerajui keterbukaan China pada era baharu.
-- BERNAMA-CMG
