AM

JPJ KELANTAN KELUAR LEBIH 200 SAMAN DALAM OPS KHAS RENTAS SEMPADAN ZON TIMUR

18/12/2025 04:13 PM

KOTA BHARU, 18 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 210 notis saman sepanjang pelaksanaan Ops Khas Rentas Sempadan Zon Timur 2025 yang dijalankan dari 15 Dis hingga semalam dengan kerjasama JPJ Terengganu dan JPJ Pahang.

Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata operasi berkenaan bertujuan memastikan pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan persendirian dan perdagangan yang beroperasi merentasi sempadan tiga negeri.

Beliau berkata operasi disertai 37 pegawai dan anggota penguat kuasa itu menumpukan penguatkuasaan di laluan Kuantan-Kemaman, Lipis-Gua Musang, Cameron Highlands-Lojing serta Pasir Puteh-Kuala Besut/Jerteh.

“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 386 kenderaan telah diperiksa dan 68 kenderaan diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Misuari berkata selain 210 saman, JPJ turut mengeluarkan 92 notis dan mengesan 107 kesalahan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Perkhidmatan Awam Darat (APAD) 2010.

Beliau berkata berdasarkan hasil analisis, kesalahan tertinggi dikesan membabitkan kesalahan teknikal seperti lampu brek tidak berfungsi, tayar haus dan ubah suai kenderaan yang merekodkan 112 kes, diikuti kegagalan memperbaharui atau ketiadaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 34 kes serta tiada perlindungan insurans melibatkan 18 kes.

“Dalam operasi sama, sembilan kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 termasuk tiga lori tipper kerana LKM dan insurans tamat tempoh serta dua kenderaan klon jenis Honda Jazz dan Suzuki Swift,” katanya.

Mohd Misuari berkata tiga lagi lori tipper turut disita di bawah Seksyen 80 APAD 2010 atas kesalahan membawa muatan melebihi 50 peratus.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan