Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Nasib tidak menyebelahi bekas juara dunia Natasha Mohamed Roslan apabila gagal meraih pingat emas boling individu wanita pada Sukan SEA 2025 di sini hari ini.
Juara Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2025 yang belum pernah meraih pingat emas dalam acara itu, tewas 191-234 kepada Charmaine Chang Yu Qian dari Singapura pada aksi di Blu-O Rhythm & Bowl, Major Cineplex Ratchayothin.
Beliau berkata format satu perlawanan yang bermula dari peringkat suku akhir menjadikan saingan sukar diramal.
“Alhamdulillah, dari segi prestasi, saya berada dalam keadaan yang baik. Walaupun hanya selangkah untuk meraih emas, format satu perlawanan dalam Sukan SEA ini menjadikan ia terbuka kepada semua pemain dan satu perlawanan itu sangat penting.
“Saya memang mahu memenangi pingat emas, tetapi sudah takdir saya hanya mampu merangkul perak. Memang mengecewakan kerana saya tidak pasti sama ada masih boleh beraksi pada Sukan SEA edisi berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.
Natasha kini berhasrat untuk menebus kekecewaannya dalam acara beregu wanita bersama gandingannya Sin Li Jane dan dalam acara berpasukan.
Pemenang pingat perak itu mara ke peringkat akhir selepas menewaskan dua wakil Indonesia - Sharon Adelina Limansantoso (214-207) di separuh akhir dan Alisha Nabila Larasati (182-176) di suku akhir, manakala Colleen Pee dari Singapura yang tewas kepada rakan senegara Charmaine 244-234, berkongsi pingat gangsa bersama Sharon.
Sementara itu, seorang lagi pemain boling wanita negara Adania Mohd Redzwan tewas kepada Sharon 183-212 di peringkat lapan terbaik.
Pingat pertama Malaysia dalam sukan boling pada Sukan SEA kali ini disumbangkan Muhammad Syazirol Shamsudin yang memenangi gangsa perseorangan lelaki semalam.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
