BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Berikut adalah kemas kini ringkas mengenai aksi atlet Malaysia di temasya Sukan SEA Thailand 2025 hari ini:
MEMANAH:
Mohd Juwaidi Mazuki, juara bertahan, mengesahkan tempatnya dalam final individu lelaki compound selepas menunjukkan persembahan tenang dan konsisten di Lapan Sasar Memanah Sports Authority of Thailand.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 di Vietnam itu memulakan kempen dengan mendapat ‘bye’ pada pusingan 16 sebelum menundukkan rakan sepasukan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki, 147(10+)-147(10) dalam perlawanan suku akhir yang penuh debaran.
Momentum Juwaidi diteruskan di separuh akhir apabila beliau menewaskan wakil Indonesia, Rinaldi Sostar 145-142, sekali gus mengesahkan tempat di perlawanan akhir untuk pingat emas pada Khamis ini.
Dalam kategori wanita compound, Ng Sui Kim mara ke perlawanan penentuan pingat gangsa selepas menempuh hari yang penuh cabaran.
Sui Kim bermula dengan menewaskan rakan senegara Fatin Nurfatehah Mat Salleh 143-141 pada pusingan 16, sebelum mengatasi wakil Laos, Kamkeo Phone 145-135 di suku akhir. Namun, beliau tewas 143-145 kepada wakil Indonesia, Nurisa Dian, di separuh akhir.
Sui Kim dijadualkan bertemu lawan bagi perebutan pingat gangsa pada Khamis.
ANGKAT BERAT:
Atlet negara Muhammad Erry Hidayat mempamerkan aksi membanggakan apabila meraih pingat perak acara akhir lelaki kategori 65 kilogram (kg) pada kejohanan di kluster Chonburi.
Atlet berusia 25 tahun itu mengumpul jumlah angkatan keseluruhan 336kg hasil catatan 149kg dalam acara snatch dan 187kg bagi clean and jerk untuk menamatkan saingan di tempat kedua di belakang wakil Indonesia, Rizki Juniansyah, yang mendominasi acara itu dengan jumlah 365kg.
Atlet Thailand, Natthawut Suepsan, melengkapkan kedudukan podium apabila meraih pingat gangsa dengan angkatan keseluruhan 335kg.
Sementara itu, dalam acara akhir wanita kategori 63kg, seorang lagi wakil negara, Nur Syazwani Radzi, menamatkan saingan di tempat kelima selepas mencatatkan jumlah angkatan 204kg, masing-masing 91kg dalam snatch dan 113kg bagi clean and jerk.
Pingat emas dimenangi atlet Filipina, Elreen Ann Ando, dengan angkatan 229kg, diikuti wakil Vietnam, Thi Thuy Tien Nguyen (219kg) dan atlet tuan rumah Thailand, Thanaporn Saetia, yang meraih gangsa dengan 218kg.
HOKI:
Skuad negara meneruskan momentum kemenangan dengan membenam Singapura 6-0 dalam perlawanan ketiga liga sepusingan hoki di Universiti Sukan Kebangsaan di Chonburi, hari ini.
Shello Silverius dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing menjaringkan dua gol manakala dua lagi gol hasil sentuhan Syed Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.
Malaysia akan meneruskan saingan menentang tuan rumah, Thailand esok.
PETANQUE:
Malaysia gagal menepati sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas selepas dua wakil negara masing-masing bagi kategori triples lelaki dan wanita tewas di saingan separuh akhir.
Trio lelaki dan wanita Malaysia masing-masing tewas kepada wakil Thailand 11-13 dan 6-13.
KRIKET:
Selepas merangkul pingat emas T20 lelaki pada Sabtu lalu, Malaysia meneruskan momentum cemerlang mereka apabila memulakan kempen T10 dengan menewaskan Filipina dengan empat wiket di Asian Institute of Technology.
Juara format peringkat liga sepusingan (round robin) bagi acara T10 akan merangkul pingat emas.
Sementara itu, skuad wanita negara membuka kempen T20 mereka dengan kemenangan 18 larian ke atas Indonesia dalam aksi Kumpulan B di TerdThai Cricket Grounds.
Malaysia yang kini mendahului kumpulan akan menentang Filipina dalam perlawanan kumpulan terakhir Rabu ini.
E-SUKAN
Malaysia bakal menentukan pemegang pingat emas menentang Filipina dalam final Mobile Legends Bang Bang di Sala Phra Kieo, Universiti Chulalongkorn.
Pasukan negara mara ke final selepas menewaskan Myanmar 3-1 dalam separuh akhir dan menundukkan Thailand 3-0 pada suku akhir, yang turut berlangsung hari ini.
BERBASIKAL LEBUH RAYA
Dua pelumba negara Kee Zhe Yie dan Muhammad Nur Aiman Rosli gagal membawa pulang sebarang pingat dalam acara ujian masa individu lelaki di Nakhon Nayok.
Zhe Yie mencatat masa 1 jam 11 minit 46 saat (s) manakala Muhammad Nur Aiman merekodkan 1:12.44s, masing-masing menamatkan di kedudukan kelapan dan kesembilan.
Chawchiangkwang Peerapol dari Thailand meraih emas dengan catatan 1:07.28s, diikuti Ariya Phounsavath dari Laos (perak, 1:07:53) dan Cahyadi Aiman dari Indonesia membawa pulang gangsa dengan 1:08:18s.
-- BERNAMA
