KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemimpin dari Eropah, dunia Arab dan pertubuhan antarabangsa, telah menyampaikan ucapan takziah kepada Australia berikutan kejadian tembakan maut di Bondi Beach, Sydney.
Dalam hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan yang cedera pulih segera dan sepenuhnya.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri berkata beliau amat terkejut dengan serangan yang meragut nyawa orang tidak bersalah dan menyebabkan ramai lagi cedera, serta mengutuk perbuatan itu sekeras-kerasnya.
Perdana Menteri Britain Keir Starmer, dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya berkata beliau berasa ngeri dengan serangan di Sydney itu dan menyampaikan simpati kepada mangsa, keluarga mereka serta semua yang terjejas.
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, dalam hantaran di akaun X rasminya, berkata beliau terkejut dengan suasana menyedihkan di Bondi dan menyatakan ingatan dan doa rakyat New Zealand bersama mangsa, keluarga mereka serta rakyat Australia.
Perdana Menteri India Narendra Modi, dalam hantaran di akaun X rasminya, mengutuk keras serangan itu yang digambarkannya sebagai insiden pengganas yang mengerikan, dan menyampaikan ucapan takziah India kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang.
Dari dunia Arab, Palestin mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan dan menegaskan semula pendirian tegasnya menolak semua bentuk ekstremisme dan keganasan, termasuk pembunuhan orang awam, lapor Agensi Berita & Penerangan Palestin (WAFA).
Ia juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Australia serta mendoakan yang cedera semoga pulih segera.
Kementerian Luar Emiriah Arab Bersatu, dalam kenyataan disiarkan Agensi Berita Emiriah (WAM), mengutuk kejadian tembakan itu serta menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat Australia.
Arab Saudi, menerusi kenyataan Kementerian Luarnya, mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat Australia, sambil menegaskan penolakan kerajaan itu terhadap keganasan dan ekstremisme dalam semua bentuk, lapor Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA).
Dari Eropah, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, dalam hantaran di akaun X rasminya, berkata beliau amat berdukacita dengan serangan mengerikan itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta rakyat Australia.
Presiden Perancis Emmanuel Macron, dalam hantaran di akaun X rasminya, berkata Perancis bersolidariti bersama Australia susulan serangan maut itu, sambil menyampaikan simpati kepada mangsa, orang tersayang mereka serta rakyat Australia.
Canselor Jerman Friedrich Merz, dalam kenyataan dihantar di akaun rasminya, berkata beliau amat terkejut dengan serangan antisematik di Sydney itu dan menyatakan ingatan dan doanya bersama mangsa dan keluarga mereka.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres, dalam kenyataan dikeluarkan jurucakapnya, mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta rakyat dan kerajaan Australia.
Angka kematian insiden pengganas itu meningkat kepada 16 termasuk seorang penembak setakat pagi Isnin. Polis telah mengenal pasti seorang lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 24 tahun yang didakwa sebagai penembak dalam insiden itu, lapor Xinhua.
-- BERNAMA
