SUKAN

WJWC: JARINGAN LEWAT PERMAINAN KECEWAKAN YOUNG TIGRESS, TEWAS TIPIS KEPADA CHILE

04/12/2025 11:09 AM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) --  Skuad hoki remaja wanita kebangsaan mengalami kekalahan kedua berturut-turut pada Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita (WJWC) 2025 selepas tewas tipis kepada tuan rumah Chile 0-1 bagi aksi Kumpulan A di Santiago, semalam.

Javiera Saenz muncul wira Chile apabila jaringan hasil pukulan sudut penalti seminit sebelum perlawanan tamat memastikan pasukannya merekodkan kemenangan sulung bagi kempen kali ini selepas dibelasah juara bertahan Belanda 10-0, Isnin lepas.

Keputusan tersebut menutup peluang Young Tigress kendalian Lailin Abu Hassan ke suku akhir apabila menduduki kedudukan tercorot tanpa sebarang mata setakat ini manakala Belanda kekal di tangga teratas dengan enam mata diikuti Jepun (tiga mata) dan Chile yang berkongsi mata sama di tempat ketiga.

Walaupun gagal menterjemahkan peluang yang dimiliki untuk merobek gawang tuan rumah,  Lailin berkata secara keseluruhan anak buahnya bermain dengan baik.

"Pemain tunjuk semangat tinggi untuk tentang Chile namun segala perancangan untuk menyerang tidak menjadi,” katanya dalam satu audio dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia kepada media.

Malaysia, yang membuka kempen dengan langkah kiri selepas dibenam Jepun 1-4, Isnin lepas, dijadual menutup saingan Kumpulan A menentang Belanda, esok.

Hanya juara kumpulan dan dua pasukan naib juara terbaik mara ke suku akhir manakala empat pasukan naib juara lain serta empat pasukan ketiga terbaik akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16.

Baki pasukan lain berentap dalam perlawanan klasifikasi ke-17 hingga ke-24.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan