Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan mencatat penyusutan kecil berikutan sentimen berhati-hati yang ketara menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu depan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.77 mata atau 0.11 peratus kepada 1,621.07 daripada 1,622.84 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka meningkat 1.79 mata kepada 1,624.63, bergerak antara 1,616.49 dan 1,625.99 sepanjang dagangan.
Pasaran meluas adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 463 kepada 458. Sebanyak 699 kaunter tidak berubah, 1,105 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.48 bilion unit bernilai RM2.75 bilion daripada 3.28 bilion unit bernilai RM2.30 bilion semalam.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Laporan Pekerjaan ADP AS dan data Indeks Pengurus Pembelian Perkhidmatan hanya mewakili sebahagian daripada lima petunjuk utama yang dijadualkan sebelum mesyuarat Fed.
“Pasaran kini menantikan data Tuntutan Pengangguran Mingguan, laporan inflasi Perbelanjaan Peribadi dan Tinjauan Sentimen Pengguna Michigan, dan kesemua ini akan mempengaruhi penilaian Fed mengenai pasaran pekerjaan yang perlahan, momentum inflasi dan jangkaan isi rumah,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, laporan pembayaran gaji bukan ladang (NFP) yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember juga telah ditangguhkan berikutan penutupan Kerajaan Persekutuan AS baru-baru ini sekali gus menjadikan tempoh menganalisis data menjadi lebih singkat dan meningkatkan sensitiviti pasaran.
“Sekiranya Fed menurunkan kadar faedah, reaksi awal pasaran dijangka positif. Hasil AS yang lebih perlahan lazimnya meredakan tekanan terhadap mata wang pasaran pesat membangun, yang boleh membantu menstabilkan ringgit dan meningkatkan sentimen terhadap ekuiti Malaysia,” katanya.
Mohd Sedek berkata segmen yang sensitif terhadap kadar faedah -- seperti sektor perbankan, utiliti, dana pelaburan hartanah, dan sektor kitaran domestik berpotensi mendapat manfaat apabila pembiayaan menjadi lebih mudah dan perbezaan hasil mengecil.
Bagaimanapun, beliau berkata tahap pemulihan pasaran yang mungkin berlaku bergantung sepenuhnya kepada panduan Fed.
“Penurunan kadar faedah sekali sahaja secara berhati-hati mungkin hanya memberi kesan kenaikan yang sederhana manakala isyarat yang lebih jelas mengenai kitaran pelonggaran berperingkat dijangka mendorong peningkatan minat risiko global yang lebih luas dan mengukuhkan daya tahan Malaysia melangkah ke 2026,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, IHH Healthcare meningkat 4.0 sen kepada RM8.31, Maybank susut 2.0 sen kepada RM10.24, Public Bank menyusut 5.0 sen kepada RM4.39, CIMB susut 3.0 sen kepada RM7.92, dan Tenaga Nasional rendah 34 sen kepada RM12.50.
Bagi saham paling aktif, Tanco naik 1.0 sen kepada RM1.15, Zetrix AI dan Perak Transit masing-masing menambah 2.0 sen kepada 83.5 sen dan 28.5 sen, Capital A susut 1.0 sen kepada 38 sen manakala PSP Energy, iaitu syarikat yang mula disenaraikan di Pasaran ACE susut 1.5 sen kepada 14.5 sen.
Saham paling untung termasuk Dutch Lady Milk Industries yang meningkat 54 sen kepada RM32.10, Fraser & Neave naik 48 sen kepada RM35.60, Hong Leong Industries mengukuh 44 sen kepada RM16.34, PPB Group meningkat 28 sen pada RM10.26, dan Telekom Malaysia melonjak 27 sen kepada RM7.90.
Antara saham paling rugi, Nestle susut 90 sen kepada RM115.70, Allianz Malaysia rendah 52 sen kepada RM19.98, Malaysian Pacific Industries berkurangan 40 sen kepada RM32.08, Petronas Gas rendah 18 sen kepada RM17.30 dan Chin Teck Plantations susut 16 sen kepada RM10.86.
Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 16.54 mata kepada 4,826.63, Indeks FBM Emas Shariah naik 15.30 mata kepada 11,831.68, Indeks FBM Mid 70 menyusut 15.73 mata kepada 16,746.92, Indeks FBM Emas rendah 10.57 mata kepada 11,991.19, dan Indeks FBMT 100 susut 12.39 mata kepada 11,773.0.
Dari segi sektor, Indeks Perladangan meningkat 13.25 mata kepada 8,111.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.25 mata kepada 166.29, Indeks Tenaga menambah 8.11 mata kepada 758.06, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 61.04 mata kepada 19,048.02.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.29 bilion unit bernilai RM2.24 bilion daripada 1.32 bilion unit bernilai RM1.96 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 2.78 bilion unit bernilai RM386.97 juta berbanding 1.60 bilion unit bernilai RM205.05 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 406.31 juta unit bernilai RM117.33 juta berbanding 349.14 juta unit bernilai RM124.85 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 332.50 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (221.90 juta), pembinaan (67.73 juta), teknologi (164.51 juta), perkhidmatan kewangan (63.85 juta), hartanah (136.24 juta), perladangan (33.99 juta), amanah pelaburan hartanah (24.82 juta), dana tertutup (79,600), tenaga (89.84 juta), penjagaan kesihatan (53.32 juta), telekomunikasi dan media (40.92 juta), pengangkutan dan logistik (27.60 juta), utiliti (31.10 juta), dan amanah perniagaan (sifar).
-- BERNAMA
