DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SEIRING TREND SERANTAU

21/11/2025 07:15 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini lebih rendah, menunjukkan prestasi lemah di bursa serantau berikutan jualan besar-besaran di Wall Street dalam tempoh semalaman telah menjejaskan sentimen pelabur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.39 mata atau 0.15 peratus kepada 1,617.57 daripada 1,619.96 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.24 mata kepada 1,617.72 dan berubah-ubah antara 1,614.60 dan 1,618.86 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 821 berbanding 392 manakala 496 kaunter tidak berubah, 1,078 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan susut kepada 4.39 bilion unit bernilai RM2.96 bilion berbanding 4.70 bilion unit bernilai RM2.94 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun terdapat ketidaktentuan luaran, pasaran tempatan masih kukuh, disokong oleh pembelian yang konsisten daripada institusi dan keyakinan domestik yang semakin meningkat.

“Kami menjangkakan ekuiti Malaysia terus berdaya tahan dalam masa terdekat, disokong oleh penyertaan berterusan daripada pelabur institusi tempatan yang menyedari asas kukuh syarikat korporat domestik dan penilaian yang menarik dalam sektor utama.

“Menguatkan lagi kekukuhan ini, jumlah dagangan pasaran secara konsisten melebihi 4.0 bilion saham, melebihi purata kira-kira 2.8 bilion sekali gus menunjukkan penglibatan pelabur yang semakin meluas dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa kaunter tertentu,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Thong berkata langkah berhati-hati masih perlu memandangkan ketidaktentuan makro di peringkat global terutama kebimbangan yang berterusan mengenai prospek pertumbuhan global dan perubahan terhadap dasar monetari Amerika Syarikat.

Di peringkat serantau, Indeks Komposit SSE China susut 2.45 peratus kepada 3,834.89, Indeks Hang Seng Hong Kong rendah 2.38 peratus kepada 25,220.02, Nikkei 225 Jepun merosot 2.40 peratus kepada 48,625.88, dan Indeks Straits Times Singapura berkurangan 0.95 peratus kepada 4,469.14.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank, meningkat empat sen kepada RM9.94, Press Metal menambah satu sen kepada RM6.48, Maxis tidak berubah pada RM4.13, Public Bank susut dua sen kepada RM4.28, CIMB berkurangan tujuh sen kepada RM7.46, dan Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM13.10.

Bagi saham paling aktif, Borneo Oil meningkat setengah sen kepada satu sen, V.S. Industry dan Tanco masing-masing menokok satu sen kepada 45 sen dan RM1.04, Zetrix AI susut 4.5 sen kepada 81 sen, dan Perak Transit rendah satu sen kepada 27 sen.

Antara kaunter untung utama, BLD Plantation melonjak 70 sen kepada RM14, Formosa Prosonic melonjak 47 sen kepada RM2.04, United Plantations meningkat 24 sen kepada RM28.54, dan Eurospan menambah 13 sen kepada RM3.13.

Bagi saham paling rugi, Nestle rendah RM1.30 kepada RM112, Petronas Dagangan susut 46 sen kepada RM21.02, Hong Leong Industries menyusut  26 sen kepada RM15, dan MI Technovation menguncup 24 sen kepada RM3.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 27.18 mata kepada 11,770.11, Indeks FBM Emas susut 34.20 mata kepada 11,996.81 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 31.95 mata pada 11,992.68.

Indeks FBM ACE menyusut 31.97 mata kepada 4,941.59 dan Indeks FBM Mid 70 rendah 81.75 mata kepada 16,841.03.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 10.43 mata kepada 8,236.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.47 mata kepada 164.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 47.38 mata kepada 18,376.0 dan Indeks Tenaga susut 1.33 mata kepada 755.96.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.58 bilion unit bernilai RM2.37 bilion berbanding 1.53 bilion unit bernilai RM2.29 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 2.43 bilion unit bernilai RM446.66 juta daripada 2.71 bilion unit bernilai RM488.20 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 379.78 juta bernilai RM139.96 juta daripada 457.42 juta unit bernilai RM162.05 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 293.71 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (425.24 juta), pembinaan (136.08 juta), teknologi (230.58 juta), perkhidmatan kewangan (63.63 juta), hartanah (141.10 juta), perladangan (42.75 juta), amanah pelaburan hartanah (14.62 juta), dana tertutup (5,500), tenaga (93.36 juta), penjagaan kesihatan (58.69 juta), telekomunikasi dan media (19.92 juta), pengangkutan dan logistik (27.84 juta), utiliti (30.54 juta), dan amanah perniagaan (12,000).

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan