EKONOMI

TINDAKAN IKLIM : PELABURAN, TEKNOLOGI PENTING BAGI MELINDUNGI NYAWA DAN PUNCA PENDAPATAN - PM ANWAR

23/11/2025 01:21 AM

Daripada M.Saraswathi

JOHANNESBURG, 22 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa  agar tindakan tegas diwujudkan yang menumpukan aspek pelaburan antisipatori atau proaktif, pragmatisme teknologi serta mempercepat penerimagunaan dalam menangani perubahan iklim.

Ketika berkongsi penekanan itu di pentas Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di sini hari ini, Perdana Menteri berkata pendekatan sedemikian yang bertujuan melindungi nyawa, punca pendapatan dan kestabilan serantau, juga penting bagi mengemudi dunia yang semakin dibentuk oleh risiko iklim dan bencana.

Sambil menjadikan Asia Tenggara sebagai contoh, beliau berkata rantau itu kekal sebagai antara pusat bencana dunia yang bertahun lamanya dengan mencatat hampir separuh daripada jumlah kematian akibat bencana di peringkat global serta menyebabkan kerugian ekonomi lebih US$4.4 bilion (US$1= RM4.1460).

“Bukan semua kejadian itu disebabkan oleh perubahan iklim, namun (peningkatan) tekanan iklim itu hanya menjadikan impaknya ketara serta melemahkan proses pemulihan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara ketika sesi intervensi pada Sesi 2 bertajuk “A Resilient World – the G20’s Contribution: Disaster Risk Reduction; Climate Change; Just Energy Transitions; Food Systems” (Dunia yang Berdaya Tahan – Sumbangan G20: Pengurangan Risiko Bencana; Perubahan Iklim; Peralihan Tenaga yang Saksama; Sistem Makanan) di sini, hari ini.

Anwar yang bersuara atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, berkata rantau ini juga telah mengambil iktibar bahawa daya tahan itu bergantung kepada pelaburan antisipatori atau proaktif.

“Atas alasan inilah, rantau kita telah membangunkan salah satu sistem respons bencana paling aktif di negara-negara membangun menerusi Pusat Penyelarasan ASEAN Bantuan Kemanusiaan atau Pusat AHA.

“Oleh itu, adalah penting untuk mempunyai pendekatan lebih meluas dan pelbagai bagi tindakan iklim,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menggariskan tiga cadangan bagi menangani cabaran perubahan iklim -- pertama membabitkan pendekatan lebih luas dan pelbagai terhadap tindakan iklim

“Apabila semua perjanjian global terjejas, kemajuan itu sebaliknya masih boleh dicapai menerusi pertubuhan serantau serta pakatan subnasional seperti wilayah, negeri dan bandar-bandar,” kata beliau.

Anwar juga menyifatkan pengalaman ASEAN sebagai membuktikan bahawa platform serantau masih boleh memajukan tindakan iklim, kerjasama bencana dan keterhubungan tenaga walaupun ketika proses global berdepan kesukaran.

“Inilah kerangka utama daya tahan yang praktikal,” kata beliau.

Bagi cadangan kedua, Perdana Menteri berkata dunia perlu menerima pragmatisme teknologi.

“Sekiranya bahan api fosil tidak dapat dilenyapkan secara pantas, maka kita memerlukan teknologi yang dapat mengurangkan jejaknya,” kata Anwar.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata usaha pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pengurangan metana serta penyahkarbonan industri menjadi elemen yang penting.

“Malaysia misalnya, sedang melabur secara dengan kukuh ke arah langkah ini, termasuk pembangunan hab pemerangkapan serta penyimpanan karbon,” kata beliau.

Anwar turut mengetengahkan peranan Grid Kuasa ASEAN dan Saluran Paip Gas Rentas ASEAN yang disifatkan beliau dapat membantu kelancaran integrasi tenaga boleh baharu (TBB) selain mengukuhkan keterjaminan tenaga ketika rantau itu meningkatkan penggunaan tenaga bersih.

“Inilah bentuk pendekatan yang dapat merealisasikan peralihan itu,” kata beliau.

Merujuk cadangan ketiga, Perdana Menteri berkata kalangan negara-negara perlu bertindak mempercepat aspek penerimagunaan berikutan impak perubahan iklim yang terbukti mengancam nyawa dan menjejaskan punca pendapatan, khususnya dari segi keterjaminan makanan dan air.

Perubahan iklim, kata Anwar, telah melambatkan pertumbuhan produktiviti pertanian global sebanyak lebih 20 peratus sejak 1961.

“Tanpa penerimagunaan yang kukuh serta sokongan kepada petani, puluhan juta orang berisiko mengalami kelaparan menjelang 2050.

“Sehubungan itu, tindakan meningkatkan aspek pertanian pintar iklim, mengembangkan rangkaian sistem amaran awal serta menyokong pekebun kecil akan menjadi penting terhadap kestabilan di kebanyakan wilayah,” kata beliau.

Anwar turut menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan semua rakan di peringkat global, serantau dan tempatan dalam memajukan strategi iklim yang berlandaskan realiti dihadapi oleh rakyat.

“Bagi mengekalkan peningkatan usaha ini, akses pembiayaan iklim antarabangsa perlu ada, boleh dijangkakan serta diselaras dengan keperluan rantau membangun. Hanya dengan cara ini, kita dapat melindungi punca pendapatan serta memajukan kemakmuran bersama,” kata Anwar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan