KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus menunjukkan komitmen tinggi dan menjadi antara pasukan paling aktif melaksanakan pelbagai program bukan sahaja di peringkat agensi malah di peringkat Kementerian Komunikasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pelbagai program dirancang setiap tahun bagi memastikan fungsi AKRAB dapat mewujudkan suasana kerja yang harmonis serta menyokong kesejahteraan mental, fizikal dan sosial pegawai.
“Isu kesihatan mental dalam perkhidmatan awam sentiasa menjadi aspek tumpuan. Berdasarkan laporan hasil saringan sistem pemprofilan pendigitalan kesihatan psikologi perkhidmatan awam pada Mac hingga Dis 2024, seramai 44,901 pegawai awam yang menjalani saringan tersebut didapati berisiko tinggi dalam isu kesihatan mental berkaitan kemurungan, keresahan, penyalahgunaan bahan dan tingkah laku termasuk membunuh diri," katanya pada penutup Hari Terbuka AKRAB 2025 di Wisma Bernama hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Perkhidmatan Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain, yang juga Timbalan Pengerusi AKRAB Bernama.
Turut hadir Ketua Komersial Mastura Hassan, Ketua Bahagian Perancangan Strategik Harlina Samson dan Ketua Bernama Radio Azlan Idris.
Nur-ul Afida berkata jumlah pegawai berisiko tinggi itu mewakili 4.6 peratus daripada keseluruhan penjawat awam yang membuat saringan iaitu 975,780.
"Perkara ini dipandang serius oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan membangunkan MyPsyD yang bertujuan mengenal pasti tahap kesihatan psikologi pegawai serta bertindak mengambil langkah perlu untuk membantu golongan yang berdepan dengan masalah tersebut," katanya.
Selain itu, beliau berkata AKRAB Bernama menyediakan ujian DASS (Depression, Anxiety, Stress Test) bagi membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan sokongan psikologi.
“AKRAB Bernama sentiasa bersedia menjadi rakan mendengar dan berbual agar mereka yang menghadapi apa jua permasalahan tidak berasa keseorangan dalam menghadapi cabaran,” katanya.
Hari Terbuka AKRAB menyaksikan penyertaan lebih 100 petugas Bernama sejak 9 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik yang turut disertai rakan pempamer seperti Takaful Malaysia, JPA, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), KPJ Eyecare Specialist Sdn Bhd dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
-- BERNAMA
