KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan segera dalam aspek pengindahan kawasan tumpuan pelancong, bagi memastikan imej Kuala Lumpur kekal menarik dan bersedia menerima kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata perkara itu termasuk pembaikan laluan pejalan kaki, pencahayaan serta mengecat semula bangunan atau kemudahan yang pudar, bagi mengekalkan keindahan kawasan tarikan pelancong seperti di Little India, Brickfields dan Jalan Alor, di sini.
“Isu-isu kecil seperti lampu yang malap atau simen pecah tidak boleh dibiarkan terlalu lama, kerana akhirnya ia akan merosakkan pemandangan dan membahayakan pelancong.
“Walaupun kecil, apabila tular di media sosial, ia boleh menjejaskan imej kita,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri sesi tinjauan mesra bersama Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) di sekitar Little India dan Jalan Alor, Bukit Bintang malam ini. Turut hadir Presiden KLTA Azhar Nadzir.
Program tinjauan mesra itu bertujuan menilai tahap kebersihan, penyelenggaraan dan daya tarikan pelancongan di kawasan tumpuan utama di ibu negara, selain mendapatkan input secara langsung daripada komuniti setempat dan peniaga, mengenai cabaran yang dihadapi mereka.
Shaharuddin berkata antara perkara yang dibangkitkan wakil industri dan peniaga ialah keperluan memperindah laluan pelancong, membaiki lampu yang tidak berfungsi serta memperbaharui cat yang telah pudar, selain menambah baik kemudahan seperti tempat rehat dan papan tanda pelancongan.
Beliau berkata MOTAC turut menyediakan bantuan kewangan kepada PBT bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan, dengan peruntukan berjumlah RM80 juta diagihkan di seluruh negara tahun ini, untuk membaik pulih kemudahan di kawasan tumpuan pelancong.
-- BERNAMA
