PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat bas Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd (No Syarikat: 806799-V) berkuat kuasa 11 Sept lepas.
Menurut MOTAC, tindakan diambil Pesuruhjaya Pelancongan itu selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
“MOTAC memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini.
Pada pada 3 Nov lepas, Mahkamah Majistret Gerik telah mensabitkan syarikat Kenari Utara Travel & Tours atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 6 (1)(f) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen.
Ia susulan nahas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lepas di Gerik yang menjadi antara insiden paling menyayat hati.
-- BERNAMA
