AM

KAMPUNG TERONG ASAM, SK LANGGAR DIPILIH SEBAGAI KAMPUNG DAN SEKOLAH ANGKAT MADANI

08/11/2025 07:08 PM

ALOR SETAR, 8 Nov (Bernama) -- Kampung Terong Asam dan Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, dekat sini, telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di bawah Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia).

Majlis penyerahan kampung dan sekolah itu dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Simon Ooi Tze Min dan disaksikan oleh Ketua Pengarah KIMIA Malaysia Marhayani Md Saad.

Ooi berkata pihak kementerian menghargai usaha KIMIA Malaysia yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi tinggi dalam menjayakan program berkenaan selari dengan hasrat untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar melalui pendekatan whole-of-government dan whole-of-society.

“Bagi Kampung Angkat MADANI, peruntukan berjumlah RM1 juta disalurkan untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, manakala RM100,000 pula diperuntukkan kepada Sekolah Angkat MADANI bertujuan menaik taraf kemudahan pembelajaran.

“Peruntukan itu turut melibatkan baik pulih surau, masjid dan jalan kampung; pembinaan dewan terbuka dan pagar kubur; pemasangan lampu jalan solar; program komuniti; serta menaik taraf prasarana sekolah dan pembangunan pelajar,” katanya pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI serta Program Kimia Ke Desa 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata Program Kimia Ke Desa ialah platform penting untuk membawa bidang sains, khususnya kimia kepada masyarakat supaya mereka dapat melihat sendiri bahawa bidang itu bukanlah sesuatu yang sukar.

“Program ini juga dapat memberikan pendedahan tentang keselamatan bahan kimia dan pemeliharaan alam sekitar kepada penduduk setempat selain dapat membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda menanam minat dalam bidang berkenaan, terutamanya kimia,” katanya.

Sementara itu, Marhayani berkata perjalanan projek berkenaan telah bermula seawal Januari lepas bersama-sama wakil komuniti dan KIMIA Kedah, serta projek itu dapat berjalan dengan lancar dan baik hasil kerjasama semua pihak.

“Bagi kami di KIMIA Malaysia, ia bukan sekadar projek, tetapi tanggungjawab sosial yang dekat di hati serta memberikan ruang kepada kami untuk turun padang, mendengar sendiri keperluan komuniti dan menggunakan kepakaran yang ada untuk manfaat yang nyata kepada masyarakat.

“Melalui Program Kimia ke Desa ini, kita ingin membawa bidang sains, khususnya kimia lebih dekat kepada murid sekolah dan ibu bapa mereka. Kadangkala, murid mempunyai minat yang tinggi terhadap sains, tetapi tanpa galakan daripada ibu bapa, minat itu sukar berkembang.

"Sehubungan dengan itu, menerusi pelbagai program dan aktiviti yang kita jalankan hari ini, saya yakin ia dapat memupuk minat yang lebih mendalam terhadap bidang sains dan kimia dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata semua program dan projek yang dilaksanakan oleh KIMIA Malaysia diharapkan dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada penduduk kampung dan sekolah, sekali gus menyumbang kepada kemenjadian murid.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan