BUKIT MERTAJAM, 8 Nov (Bernama) -- Program Kampung Angkat MADANI yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 dilihat mampu memastikan setiap pemimpin benar-benar memahami realiti kehidupan rakyat serta membantu menyelesaikan masalah pada peringkat akar umbi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata di bawah program itu, semua pimpinan kerajaan termasuk menteri, timbalan menteri dan ketua jabatan diwajibkan memilih satu kampung sebagai kampung angkat masing-masing bagi meneliti isu kemiskinan, pendidikan dan kemudahan setempat.
"Apabila mereka turun sendiri ke kampung, mereka akan tahu masalah sebenar...dari anak-anak sekolah, orang miskin sehinggalah mutu pendidikan.
"Dari situ barulah usaha penambahbaikan boleh dibuat,” katanya ketika berucap pada Program Komuniversiti Kolaboratif di Padang Bola Cherok Tokun di sini, hari ini.
Dalam usaha memperkukuh semangat pemerkasaan rakyat, beliau berkata kerajaan memperkenalkan Inisiatif Sejati MADANI yang membolehkan penduduk kampung mengurus sendiri dana yang disalurkan terus kepada mereka tanpa melalui lapisan birokrasi kementerian.
Melalui inisiatif itu, Anwar berkata orang kampung diberi kuasa untuk menentukan jenis projek yang ingin dijalankan sama ada dalam bidang ternakan, pertanian atau perniagaan kecil.
"Pengurusan dijalankan sendiri oleh penduduk, dengan keperluan untuk mengekalkan akaun dan rekod perbelanjaan yang telus.
"Pendekatan ini menggambarkan semangat 'menyantuni rakyat' dalam konsep Kerajaan Madani, yang bukan sekadar turun berjumpa rakyat tetapi memberikan ruang kepada mereka untuk memilih dan mengurus masa depan sendiri,” katanya.
Program Komuniversiti Kolaboratif, yang dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), memberi 100 pelajar universiti itu peluang untuk menabur bakti kepada penduduk kampung Cherok Tokun.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tiga hari hingga esok itu termasuk gotong-royong, Forum Perdana, Fun Run, Jualan Rahmah dan pemeriksaan kesihatan.
-- BERNAMA
