AM

KAPIT BANDAR PEDALAMAN MODEN DALAM TEMPOH LIMA HINGGA 10 TAHUN - PREMIER

06/11/2025 09:40 PM

KAPIT, 6 Nov (Bernama) -- Pembangunan pesat yang sedang dilaksanakan kerajaan Sarawak dijangka mengubah wajah Kapit menjadi sebuah bandar pedalaman moden dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata perancangan pembangunan Kapit dirangka secara menyeluruh meliputi penyediaan bekalan air, elektrik, pembinaan jalan raya, penempatan semula serta pembangunan sosioekonomi rakyat.

“Kapit akan menjadi sebuah New Inland Modern Township dalam tempoh lima hingga 10 tahun. Segala perancangan telah kita laksanakan mengikut strategi pembangunan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Merarau Bersama Komuniti Kapit di sini hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM1.96 bilion bagi membekalkan air terawat ke kawasan Kapit, termasuk penambahan peruntukan untuk sistem bekalan elektrik berteknologi baharu bagi meningkatkan liputan tenaga di kawasan pedalaman.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan dan menaik taraf beberapa rangkaian jalan utama serta jalan penghubung termasuk projek jalan akses Belaga-Bakun serta pembinaan jeti bagi menyokong pembangunan ekonomi dan aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan.

Beliau turut mengumumkan projek Jalan Merirai bernilai RM122 juta serta pembinaan Jalan Tunoh sepanjang tujuh kilometer bagi menghubungkan kawasan penempatan semula masyarakat setempat.

“Pembangunan infrastruktur asas ini penting bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar sebelum kita bergerak kepada fasa seterusnya iaitu pembangunan sosioekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata Sarawak kini telah diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi tujuh tahun lebih awal daripada sasaran ditetapkan oleh Bank Dunia namun usaha meningkatkan pendapatan keluarga mesti terus diperkukuhkan.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan melaksanakan pendidikan pengajian tinggi percuma untuk anak Sarawak yang layak mulai tahun depan bagi memperkukuh pembangunan modal insan negeri.

Dalam pada itu, beliau menyatakan hasrat menjadikan Kapit sebagai bandar mesra pejalan kaki dan bandar ecopelancongan berdasarkan cadangan pakar perancangan antarabangsa dari Norway, yang melihat potensi Kapit sebagai bandar hijau pedalaman yang unik.

“Dengan perancangan rapi dan identiti tersendiri, Kapit berpotensi menjadi salah satu bandar mesra alam terbaik di dunia,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan tempatan, veteran, agensi kerajaan dan komuniti Kapit atas sokongan berterusan terhadap agenda pembangunan negeri.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata penganugerahan “The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star” oleh Maharaja Jepun kepada beliau adalah bukti dunia mengiktiraf pembangunan di Sarawak.

“Dalam kata lain, dunia sedang mengenali kita, dalam pembangunan dan juga cara kita membangun khususnya dari sudut ekonomi baharu yang berteraskan kepada tenaga boleh baharu dan kelestarian. Kalau ini berlaku, maknanya orang akan melawat kita (Sarawak),” katanya menambah beliau akan ke Jepun Isnin depan untuk menerima anugerah itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan