KAPIT, 6 Nov (Bernama) -- Penanaman pokok ensurai di sepanjang tebing sungai Bahagian Kapit antara projek yang dicadangkan ketika Sarawak memasuki fasa kedua dan terakhir Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang turut menandakan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 pada tahun hadapan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek yang akan dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Ulu Rejang (URDA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) itu bertujuan meningkatkan sosioekonomi rakyat, sejajar dengan tumpuan kerajaan di bawah RMK13.
“Terdapat cadangan untuk kami menanam pokok ensurai yang akan menjadi sumber makanan ikan di sungai atau empangan. Ini sebahagian daripada aktiviti sosioekonomi yang akan digalakkan dalam fasa pembangunan seterusnya (di kawasan URDA),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri (SDCCM) di Kompleks Pentadbiran Bahagian Kapit hari ini.
Beliau berkata Sarawak telah mencapai status negeri berpendapatan tinggi seperti yang diiktiraf oleh Bank Dunia, lebih awal daripada 2030, justeru tumpuan kini adalah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat Sarawak termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman.
Projek berkenaan dilihat mampu menyediakan sumber makanan kepada ikan empurau dan semah bernilai tinggi, yang menjadikan buah ensurai sebagai makanan utama, sekali gus meningkatkan populasi spesies itu serta memberi hasil lumayan kepada mereka yang terlibat dalam sektor perikanan air tawar.
Pokok ensurai atau nama saintifiknya Dipterocarpaceae oblongifolius boleh membesar sehingga mencapai ketinggian 40 meter dan diameter 200 sentimeter. Ia adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya dan buahnya menjadi makanan kepada pelbagai spesies ikan air tawar bernilai tinggi seperti empurau, yang boleh mencecah harga sehingga RM1,000 sekilogram serta semah, yang boleh dijual sehingga RM200 sekilogram.
Sementara itu, Abang Johari berkata beliau berpuas hati dengan pelaksanaan keseluruhan pelbagai projek di Kapit, termasuk projek naik taraf bekalan air bernilai RM1.96 bilion yang dibiayai kerajaan negeri dan turut menerima peruntukan RM300 juta daripada kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata sebanyak RM122 juta telah diluluskan bagi pembinaan penempatan baharu di Merirai yang dijangka bermula tahun depan, manakala beberapa jalan utama termasuk jalan penghubung ke Empangan Hidroelektrik Baleh serta ke rumah panjang di sepanjang Sungai Baleh akan dibina bagi meningkatkan pergerakan dan peluang ekonomi penduduk tempatan.
“Menjelang 2030, kami yakin semua perancangan ini akan membuahkan hasil dan membawa kemakmuran kepada rakyat Sarawak, khususnya di Kapit,” katanya.
-- BERNAMA
