AM

RIBUT PETIR DIJANGKA MELANDA LAPAN NEGERI SEHINGGA 12 TENGAH HARI INI

29/10/2025 10:01 AM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, dan Sabah sehingga 12 tengah hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dikeluarkan pada 8.30 pagi, kawasan dijangka terjejas di Kedah ialah Langkawi, Yan, Kuala Muda, Baling, dan Kulim, manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara serta Seberang Perai Tengah.

Di Selangor, cuaca buruk diramal berlaku di Klang, Kuala Langat, dan Sepang, sementara di Negeri Sembilan meliputi Seremban, Port Dickson, dan Rembau.

Bagi Melaka, kawasan terlibat ialah Alor Gajah dan Melaka Tengah, manakala di Sabah melibatkan Tawau, Sandakan, dan Kinabatangan.

Orang awam diingatkan sentiasa berwaspada kerana hujan lebat dan angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan di kawasan terjejas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan