JENAYAH & MAHKAMAH

MAYAT WANITA TIDAK BERPAKAIAN, TANGAN TERIKAT DITEMUKAN DI SERI KEMBANGAN

30/10/2025 12:30 AM

SERDANG, 29 Okt (Bernama) -- Mayat seorang wanita tidak berpakaian dengan keadaan tangan terikat ditemukan berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada orang awam sekitar 3.45 petang, memaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa merupakan seorang wanita, warganegara belum dapat dipastikan dengan ketinggian kira-kira 144 sentimeter, berambut perang melepasi bahu dan berkuku panjang.

“Mangsa juga memakai subang perak di kedua-dua telinga serta gelang kain berwarna hijau dan merah serta mempunyai tatu di tangan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mohamad Farid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerusi talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan